Berada di banar Adiyaman bersama Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria Mapim menjadi satu lagi pengalaman baharu selepas Kahramanmaras.
Jika dibandingkan dengan perjalanan sebelumnya, keadaan di sini agak sama, pemandangan pada setiap sudut, ada sahaja runtuhan di ibu wilayah Adiyaman dan di situ juga mereka yang terselamat menunggu dengan penuh tabah walaupun harapan untuk menemui mereka yang terselamat semakin tipis.
Selepas seminggu tragedi, mereka masih menanti keajaiban akan berlaku di mana insan tersayang masih bernyawa di bawah runtuhan.
Berbeza dengan skala kemusnahan di Kahrahmanmaras, bandar yang menjadi pusat pentadbiran wilayah Adiyaman dengan populasi mencecah 800,000 orang yang dulunya dikenali kerana tarikan pelancongan seperti istana Namrud, tapak bersejarah dan festival cikofte semakin lenggang.
Bandar Adiyaman beransur-ansur lengang dan tinjauan di kawasan perumahan mendapati flat dan apartment, kosong dan tiada berpenghuni.
Ia ibarat menjadi bandar hantu!
Bagi yang berkemampuan, mereka memilih untuk berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat walaupun terpaksa mengembara jauh kerana semua bandar berhampirannya turut ranap menyembah bumi.
Manakala yang lain, meletakkan harapan kerajaan akan melakukan sesuatu bagi menyediakan peluang hidup yang lebih baik.
Ketika ini, mangsa bencana tiada pilihan selain berlindung di dalam khemah sementara di kawasan lapang.
Persoalannya, dengan kemusnahan teruk infrastruktur kediaman, berapa lama mereka perlu berada di situ dan bertahan dengan anasir alam.
“Kami menunggu keputusan kerajaan yang berjanji untuk menempatkan kami di bandar ini. Saya tidak fikir di bandar ini kerana ia tidak selamat. Mungkin kerajaan akan membawa kami ke bandar lain yang mana disediakan rumah secara kekal” kata Hussein Cilik ketika ditemui.
Katanya, hari-hari mendatang dengan kesan kemusnahan serta keadaan ekonomi yang sedia parah, menjadi satu lagi ujian.
Perkara yang sama turut dikongsi, Mohamad Incer.
“Kami akan berada di sini (dalam khemah sementara) sehingga dapat kebenaran masuk rumah, masalah kami sekarang bukan setakat makanan dan minuman kerana banyak pihak yang datang membantu”, katanya.
Kesudian menemuramah memberi peluang kepada kami untuk menebak soalan yang dianggap sensitif, iaitu pengalaman berdepan dengan detik maut.
Satu perkara yang ingin saya kongsi, berada di mana-mana kawasan bencana atau perang, tidak semua orang suka berkongsi cerita duka.
Bagaimanapun ketika diajukan soalan, Mohamad dalam keadaan tenang menceritakan nasib yang menimpa anggota keluarganya.
“Ketika gempa berlaku, saya tiada di sini. Saya datang ke sini untuk membantu anak-anak saudara. Tiga menjadi mangsa, dua meninggal manakala seorang lagi berada di hospital. Kami cuba menjadi kuat. Kami diuji dengan kematian, kami tidak dapat lakukan apa-apa kecuali berdua”
Usai menemuramah, sebelum beredar kedua-dua mereka mengucapkan kata-kata ini, ringkas tetapi amat mendalam.
“Malaysia-Turkiye kardish”! yang bermaksud, Malaysia-Turki bersaudara-MalaysiaGazette