Laporan media menyatakan kerosakan kantin kantin di SK Kampung Awah  telah menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan merata-rata tempat termasuk di tepi longkang.

KUALA LUMPUR – Isu kerosakan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) (LKTP) Kampung Awah, Maran berada dalam senarai 74 projek daif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk  tahun ini.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan projek tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari akan datang.

“Hal yang demikian melibatkan skop untuk merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu.

“Ia termasuk kantin dan lain-lain kemudahan mengikut piawaian dan mesra OKU (orang kelainan upaya) perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada,” kata kenyataan itu.

Jelas KPM, sementara menunggu pembinaan semula kemudahan tersebut, pihak sekolah sejak awal lagi telah meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut.

Perkara tersebut dibuat atas faktor keselamatan setelah diisytiharkan tidak selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, pihak sekolah juga telah menyediakan khemah khas digunakan oleh murid dan guru semasa waktu rehat.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru,” jelas kenyataan yang sama.

Terdahulu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan isu kerosakan kantin di SK Kampung Awah  telah menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan merata-rata tempat termasuk di tepi longkang.

Oleh hal yang demikian,  KPM merujuk kepada kenyataan tersebut memaklumkan kementerian prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid. – MalaysiaGazette