LANGKAWI – Perkhidmatan feri bagi laluan pergi balik Langkawi – Kuala Perlis akan dihentikan sementara waktu pada 1 Mac dan 2 Mac depan.
Ia berikutan paras air laut di alur pelayaran Kuala Perlis berada di bawah 1.6 meter (m) yang berkemungkinan tidak selamat untuk feri masuk pada tarikh tersebut.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, penumpang dinasihatkan menggunakan laluan Langkawi – Kuala Kedah dalam tempoh dua hari itu.
“Bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah, terdapat lima jadual pelayaran iaitu 7.30 pagi, 10 pagi, 1 petang, 4 petang dan 7 petang.
“Laluan bagi Kuala Kedah ke Langkawi pula, jadual pelayaran bermula dari jam 7 pagi,10.30 pagi, 1 petang, 4 petang dan 7 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan dan tempahan tiket feri secara atas talian boleh dilakukan melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi. – MalaysiaGazette