KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan tidak memberi peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang bukan sifat madani.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, tindakan tersebut tidak bermoral agama dan tidak mengikuti ciri demokrasi sebenar.
“Pada masa yang sama, bukan pula berlaku zalim terhadap mana-mana pihak yang tidak menyokong mereka dengan menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri-negeri dan ahli-ahli Parlimen, termasuk menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong mereka.
“Tindakan demikian adalah sungguh tidak bertamadun, tidak bermoral agama, dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, malah menjadikan cara yang salah bagi mengekalkan kuasanya,” kata Abdul Hadi.
Beliau dalam kenyataan hari ini sekali lagi menegaskan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan bukan bercirikan masyarakat madani seperti yang diasaskan oleh Nabi Muhammad di Madinah.
Ini kerana menurut Abdul Hadi, PH didominasi oleh ahli Parlimen bukan Islam.
“Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan campuran sekarang, ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam (seramai 50 orang bukan Muslim dan 31 orang Muslim).
“Mereka tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas yang disebutkan dalam hadis sebelum ini,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa percampuran ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem serta kalangan oportunis menjadikan pentadbiran sekarang bukan bercirikan pemerintahan madani.
“Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.
“Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan,” dakwa beliau.
Abdul hadi berkata, perkataan madani dirujuk kepada negara Madinah yang ditunjuk teladannya oleh Rasulullah SAW.
Beliau menegaskan, kerajaan madani adalah pemerintah yang berlaku adil kepada semua anggota masyarakat majmuk termasuk terhadap musuh yang menceroboh dan melampau.
Ini menjadikan Madinah terus bertahan malah kerajaannya tidak jatuh dengan kewafatan Nabi Muhammad.-MalaysiaGazette