Air Selangor water tariff
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas di Lembah Klang kelmarin telah mencapai 89% sehingga jam 6 pagi tadi.

Air Selangor berkata, tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Sehubungan itu, Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Baru-baru ini sebanyak 1,337 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air selepas empat loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) dihenti tugas.

Berikutan itu, gangguan air melibatkan lapan wilayah Air Selangor iaitu Petaling (370 kawasan), Gombak (279 kawasan), Hulu Selangor (30 kawasan), Klang & Shah Alam (189 kawasan), Kuala Langat (3 kawasan), Kuala Lumpur (186 kawasan) dan Kuala Selangor (280 kawasan).

Masalah ini berlaku susulan pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast