Amanda Lacaze

KUALA LUMPUR – Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) mengesahkan subsidarinya Lynas Malaysia sudah menerima kelulusan pembaharuan lesen operasi daripada Jabatan Tenaga Atom berkuat kuasa 3 Mac 2023 untuk tempoh tiga tahun.

Lesen yang sudah diperbaharui itu diberikan tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020, yang mana melarang mengimport dan memproses pemekat lantanid selepas 1 Julai 2023.

“Kami kecewa kerana syarat dalam lesen operasi pada 2020 masih dikekalkan walaupun selepas 10 tahun beroperasi dengan selamat di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze dalam satu kenyataan.

Menurutnya, meskipun syarat ini tidak berkuat kuasa sehingga 1 Julai 2023, tetapi ia tidak konsisten dengan tawaran yang diberikan semasa Lynas dipelawa melabur di Malaysia.

Beliau berkata, Lynas akan membuat rayuan pentadbiran dan undang-undang untuk memastikan syarikat ini dilayan secara adil sebagai pelabur langsung asing dan majikan serta penyumbang kepada ekonomi Malaysia.

“Kami akan memohon pengawal selia negara ini menarik balik syarat berkenaan kerana ia berbeza daripada syarat di bawah empat lesen operasi sebelum ini.

“Dan, ia merupakan faktor mengapa Lynas membuat keputusan melabur di Malaysia,” jelasnya.

Ditambah pula, dua ulasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa mendapati loji itu berisiko rendah dan mematuhi peraturan berkaitan,.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar di dunia di luar China, perlu menutup bahagian keretakan dan larut lesap loji pemprosesan nadir buminya jika syarat masih dikekalkan.

Syarikat ini menghasilkan Neodymium dan Praseodymium (NdPr) yang digunakan dalam magnet dalam sektor berteknologi tinggi daripada kenderaan elektrik kepada aplikasi ketenteraan. – MalaysiaGazette