Anggota Maritim melakukan operasi SAR komando tentera darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas pada 7 Februari 2023.

MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan Selasa lepas ditangguhkan bermula malam ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, keputusan itu diambil susulan pencarian anggota tentera pelatih penyelam yang hilang hampir seminggu gagal menunjukkan tanda-tanda penemuan baharu.

“Pelbagai usaha lain juga dilakukan termasuk penggunaan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) bagi mengesan objek di dalam air setelah pencarian di permukaan air tidak memberikan apa-apa petunjuk.

“Pencarian di dalam air ini dibantu oleh anggota Pasukan Selam Peperangan Khusus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang di Melaka, Pasukan Selam Ranjau KD Duyong dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Penyelam Penyelamat APMM namun tiada penemuan walaupun selaman dilakukan lebih 40 meter,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pihak Pusat Koordinasi Menyelamat Maritim Putrajaya turut mendapatkan bantuan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia kerana berdasarkan data dan maklumat Sistem Perancangan Optimal Mencari dan Menyelamat, terdapat kemungkinan mangsa dihanyutkan ke perairan negara jiran itu namun tiada laporan yang diterima setakat ini daripada agensi tersebut.

Iskandar berkata walaupun SAR yang memasuki hari ketujuh itu ditangguhkan namun aset maritim serta agensi sahabat akan meneruskan rutin rondaan seperti biasa dan pihak Maritim Malaysia akan memberi makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat petunjuk atau penemuan terbaharu.

“APMM mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan komuniti nelayan atas maklumat serta kerjasama yang baik sepanjang tempoh pencarian ini.

“Jumlah keseluruhan penglibatan dari hari pertama SAR diaktifkan adalah seramai 510 anggota dan sebanyak 22 aset telah diatur gerak terdiri daripada 18 aset di laut dan empat aset di udara dengan luas sektor pencarian lebih kurang 1,040 kilometer persegi,” katanya.

Pada 7 Feb lepas, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota tentera darat, dipercayai daripada Grup Gerak Khas atau lebih dikenali sebagai komando, dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari PULPAK Sungai Udang. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast