PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani diminta mempertimbangkan semula dan mengembalikan sesi sidang media secara berkala yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, perkara itu diusulkan beliau kepada Acryl ketika kementeriannya berhasrat membina jalinan kerja lebih kondusif dengan pihak media.
Katanya, beliau sebelum ini telah menerima banyak maklum balas khususnya daripada media dan merasakan permintaan itu ada munasabahnya.
“Pada masa sama, saya juga melihat logik sesi berkenaan ditiadakan selepas mendengar pandangan pihak IGP (Acryl Sani) sendiri berhubung perkara tersebut.
“Cuma dalam keadaan sekarang ketika KDN berharap untuk membina jalinan kerja yang lebih kondusif dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik maka saya mengusulkan kepada Ketua Polis Negara tadi secara langsung, ucapan yang semua rakan-rakan media dengar untuk ia diadakan semula.
“Saya beri peluang kepada Ketua Polis Negara untuk menimbangkan cadangan itu dan saya harap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Libat Urus bersama Pengamal Media, di sini, malam ini.
Terdahulu, ketika berucap, Saifuddin berkata, beliau sedia maklum bahawa sebelum ini sesi sidang media sering diadakan oleh Bukit Aman namun ia dihentikan atas alasan tertentu.
Sementara itu, Saifuddin berkata, penggunaan kamera badan polis perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin dan kini ia di peringkat untuk menentukan spesifikasi mengikut kesesuaian tertentu.
“Buat masa sekarang belum lagi, perolehan membeli kamera belum dibuat, sekarang di peringkat untuk menentukan spesifikasi dengan kesesuaian kita,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Pengamal Media di Putrajaya malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berhubung pelaksanaan kamera badan yang sepatutnya disediakan untuk kegunaan anggota polis yang bertugas sejak dua tahun lalu.
Pada akhir Januari lalu, Lip Eng membangkitkan semula perkara itu susulan insiden polis menyerbu sebuah premis persembahan muzik ‘underground’ di Pulau Pinang dan penganjurnya ditahan lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan.
Insiden itu tular di media sosial selepas beberapa pemuzik dan pencinta muzik tempatan dan luar negara yang tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan itu mengulas mengenai serbuan tersebut.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, pihaknya sudah memperolehi bajet yang diperlukan untuk mendapatkan kamera badan polis dan penggunaan kemera itu dapat meningkatkan kecekapan pasukan polis selain mampu dijadikan pengumpulan bukti.
Pada Disember lalu, Saifuddin mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menyegerakan perolehan kamera badan untuk kegunaan polis. – MalaysiaGazette