Home Rencana Macam-Macam Ujian Di Turkiye

Macam-Macam Ujian Di Turkiye

GAZIANTEP, Turkiye- Berada di lapangan dalam Misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria Mapim bukan hanya sekadar membuat liputan media.

Tugasan yang digalas termasuk menyantuni mereka yang terkesan dengan bencana yang kini telah meragut hampir 40,000 nyawa sejak kejadian, 6 Februari lalu bukan kerja mudah

Sejak tiba di Kahramanmaras, kenderaan pelbagai guna (MPV) Sprinter menjadi menjadi ‘hotel’ kami, tempat melelap mata dan menyambung kerja.

Tanggungjawab bersama anggota misi di tempat yang jauh asing dari tanah air dengan keadaan cuaca sejuk yang agak ekstrem ditambah dengan macam-macam kesukaran akibat musibah, benar-benar menguji diri.

Sebenarnya dalam tugasan sebegini, ia memerlukan kesabaran besar.

Hari kedua berada di Nurdagi, Gazientep petugas Turkiye Diyanet Vakfi (TDV), Abdulrahman Demirel mempelawa anggota misi membantu menguruskan jenazah.

Sebenarnya sejak hari pertama bencana gempa yang berukuran 7.8 dan 7.7 richter, pengurusan jenazah menjadi paling sibuk yang dibuat tanpa henti.

Barangan mangsa-mangsa gempa bumi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 13 FEBRUARI 2023.

Ada sahaja mayat yang ditemui dan perlu diuruskan secepat mungkin kerana kebanyakannya berada dalam keadaan teruk selepas tertimbus berhari-hari di bawah timbunan.

Bezanya di sini, cuaca sejuk menyebabkan proses pereputan perlahan. Kalau di negara kita, dalam tempoh 24 jam keadaan sebaliknya. Bau busuk di mana-mana.

Berbalik kepada tawaran menguruskan jenazah, dari Pusat Operasi Bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), di Stadium Nurdagi, kami dibawa ke bangunan khas yang terletak tidak jauh daripada masjid yang rosak teruk akibat gempa bumi.

Perjalanan menaiki van tidak sampai 10 minit di laluan yang kiri kanan dengan pemandangan kemusnahan, ia akhirnya berhenti sebelum berjalan beberapa langkah ke tempat khusus.

Sebelum itu, Abdulrahman mengingatkan sekali lagi yang sebarang rakaman video dan foto tidak dibenarkan ketika proses menguruskan jenazah dibuat.

Setibanya di perkarangan bangunan dua tingkat dengan laman berbumbung, kelihatan tiga buah van jenazah dan keadaannya agak dengan para petugas tempatan memakai sut pakaian pelindung diri lengkap dengan pelitup muka.

Di beberapa sudut, unggun api dinyalakan untuk menghangatkan badan kerana cuaca dingin sekitar 5 selsius.

Bau kayu zaiton sedikit sebanyak menyegarkan suasana dan mungkin juga ia digunakan untuk menyerap bau busuk mayat.

Ketibaan kami disambut baik dan kemudiaan tanpa berlengah, terus diberi taklimat ringkas mengenai tugasan yang akan diberikan.

Sambil berdiri, mata memandang ke dalam bangunan yang nampak suram.

Sejurus selepas itu, anggota misi dimaklumkan, hanya akan diberi tugasan untuk menyediakan kain kapan.

Penduduk berjalan melepasi rumah yang musnah pada hari ketujuh gempa bumi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Adiyaman, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2023.

Manakala urusan memandi, memakai kapan, mengusung dan solat jenazah akan diuruskan jemaah tempatan.

Begitu juga dengan pengkebumian.

Penjelasan itu diterima penuh kerana banyak jenazah yang dibawa bukan berada dalam keadaan sempurna.

Bagi penulis sendiri walaupun menawarkan diri, ia tidak mudah untuk berdepan dengan situasi dan silap-silap boleh memberi kesan kepada emosi.

Apapun, ia satu fardhu kifayah dan peluang itu ada di depan mata.

Tugasan yang diberikan adalah pengalaman baharu memerlukan kekuatan jiwa, mental dan emosi.

Selepas diperjelaskan, kami tanpa berlengah-lengah menyiapkan kain kapan.

Ketika itu kata salah seorang daripada mereka, tugasan seterusnya akan diuruskan jemaah tempatan kerana menjaga sensitivti keluarga.

Kata-kata itu amat kami fahami.

Ia situasi yang amat sukar bagi keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang. Ada yang tabah menunggu lebih 10 hari dan berita yang diterima adalah kematian.

Itu adalah hak mutlak privasi mereka

Duka yang dilalui bukan berakhir di situ.

Berdasarkan skala kemusnahan yang besar di mana lebih 20 juta terkesan, rakyat Turki terpaksa menempuh satu lagi fasa kehidupan.

Cerita yang mati tamat di perkuburan.

Kini kisah kelangsungan hidup mereka perlu diberi perhatian.

Apapun ujian, percayalah tidak lama lagi bangsa Turki akan bangkit semula. – MalaysiaGazette