Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abd Manaf membuat pandu uji lori Hino model SR1EKRG-MRM sempena Majlis Pelancaran Hino Approved Outlet (HASO) di Muadzam Shah, hari ini.

ROMPIN – Mara Liner Sdn Bhd (MLSB) bekerjasama dengan Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd untuk menubuhkan HINO Approved Service Outlet (HASO)) pertamanya di Muadzam Shah di sini sebagai sebahagian daripada usahanya memperkukuhkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pusat perkhidmatan automotif sehenti itu akan membangunkan tenaga kerja mahir dan meningkatkan ketersediaan modal insan berkemahiran tinggi dengan mengambil pelajar kejuruteraan automotif dari Institut Kemahiran Mara (IKM) dan GiatMARA.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abd Manaf  berkata,seramai 20 orang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) telah dilatih di bengkel ini sebelum diserap masuk menjadi mekanik tetap untuk ditempatkan di bengkel-bengkel MLSB di seluruh Malaysia.

“Saya cukup berbangga mereka mendapat pengetahuan dan pengalaman di teaching factory (kilang pengajaran) di Haso ini.

“Di sini, kemahiran graduan teknikal TVET dibangunkan untuk memenuhi keperluan industri supaya mereka lebih mudah dipasarkan dalam industri,” katanya ketika berucap merasmikan cawangan Haso di Muadzam Shah di sini hari ini.

Jelasnya, pendekatan seumpama ini akan membantu menggilap keupayaan graduan-graduan teknikal lepasan TVET Mara mencapai tahap industri.

“Inisiatif ini membantu negara melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi yang memenuhi permintaan industri dan membangunkan ekonomi,” tambahnya.

Azhar berkata, sejak bengkel ini dibuka, lebih 400 kenderaan komersial telah melakukan servis dan penyelenggaraan.

Bengkel yang menawarkan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi kenderaan itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kepada bas Mara,  juga kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MLSB, Zachary Ismail Zee Ismail berkata, syarikat itu akan membuka cawangan kedua di Langkawi dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menurutnya, bengkel mesra pengguna ini memberi perkhidmatan yang diperlukan kepada penduduk sekitar kawasan sekitar daerah Rompin, Timur Bera dan Selatan Pekan.

Zachary Ismail Zee Ismail

 

“MLSB mempunyai 17 bengkel di seluruh negara dan lima, termasuk di Muadzam Shah, yang dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan kepada semua jenis kenderaan.

“Kami menyasarkan untuk menaik taraf dua lagi kedai servis tidak lama lagi,” ujarnya.

Zachary menyifatkan kerjasama MLSB dan Hino melalui Haso selaras dengan aspirasi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempergiatkan pendidikan kemahiran dan melaksanakan program TVET secara besar-besaran, memfokuskan kepada kumpulan sasar dari luar bandar.

Lebih penting, katanya, kerjasama dengan Hino akan membantu melengkapkan juruteknik MLSB dengan kemahiran profesional, berupaya menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Hino, mendapatkan khidmat nasihat dan berunding dengan ibu pejabat Hino di Petaling Jaya melalui panggilan video dan mendapatkan alat ganti asal daripada Hino,” katanya.

Menariknya, bengkel kenderaan tersebut menyediakan perkhidmatan baik pulih kereta, tukar minyak, pendigitalan komputer, selain servis mencuci kenderaan.

“HASO sangat mesra pelanggan dengan kemudahan ruang menunggu yang selesa dan berhawa dingin, kelengkapan bilik mandi, tandas dan bilik air, surau dan ruang minum kopi.

“Pelanggan boleh sewa tuala untuk mandi, kemudian bolen menonton televisyen, sambil melihat proses pembaikan kenderaan dijalankan.

HASO beroperasi enam hari seminggu dari hari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Hino Atsushi Uchiyama berkata, perkongsian strategik antara Hino dan Mara tidak tertumpu semata-mata kepada jualan produk kerana perkhidmatan selepas jualan juga menjadi tumpuan utama.

Ia selari matlamat penubuhan HASO untuk memberikan sokongan menyeluruh dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan, katanya. – MalaysiaGazette