Wakil Bakat ATM menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye kepada Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel, semalam. Ihsan Foto ATM

KUALA LUMPUR- Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat ATM) turut tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada  mangsa gempa bumi di Turkiye.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM berkata, badan itu menyumbangkan 2,000 helai selimut dan tuala kepada Kedutaan Turki di Malaysia, hari ini.

“Kerja-kerja pembungkusan kesemua barangan berkenaan telah dilaksanakan di Dewan Mulia, Rumah BAKAT ATM, Kem Kementah pada 16 Februari lalu.

Kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Staf 1 BAKAT ATM, Mejar Hazfina Hassan dari tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mewakili Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah kepada Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Selimut dan tuala antara sumbangan Bakat ATM yang diserahkan kepada Duta Besar Turkiye di Malaysia,Emir Salim Yuksel, semalam. Ihsan Foto ATM

Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa- mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan, di samping mendukung usaha-usaha kebajikan yang digerakkan oleh Bakat ATM.

Ia juga selaras dengan peranannya dalam memberi khidmat kebajikan tanpa mengira agama dan bangsa serta menyokong aktiviti-aktiviti amal samada yang digerakkan di dalam mahupun luar negara.

Pada masa yang sama inisiatif ini juga bagi menyokong usaha ATM yang telah mengerakkan pasukan perubatan dan kesihatannya bagi mengoperasikan Hospital Medan Malaysia (HMM) di negara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast