KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) akan terlibat dalam larian amal iaitu ‘Melaka 10KM NKF Charity Fun Run 2023’ pada 21 Mei ini.
Larian anjuran Berryone Solution itu akan diadakan di Dataran Multimedia Universiti Melaka (MMU) Melaka itu turut membawa slogan 1 Step 1 Love adalah mengumpul dana sebanyak mungkin.
Pengarah Urusan syarikat itu, Dave Koval berkata, larian tersebut menyasarkan kira-kira 5,000 peserta membabitkan dua kategori utama iaitu 10kilometer (km) dan dua km bagi orang kelainan upaya (OKU).
Jelas beliau, NKF memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun bagi menyalurkan ubat- ubatan dan peralatan dialisis dengan sokongan yang tidak ditampung oleh hospital kerajaan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang.
“Objektif program adalah sebagai platform untuk mengumpul dana bagi NKF serta beberapa pertubuhan lain sekitar negeri Melaka.
“NKF memerlukan kira-kira RM1.5 juta setahun bagi menyalurkan ubat-ubatan dan peralatan dialisis dengan sokongan yang tidak ditampung oleh hospital kerajaan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang
“Melalui program ini juga kita dapat mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan memberikan kesedaran kepada mereka mengenai pesakit buah pinggang yang memerlukan bantuan serta penjagaannya.
“Program ini dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi serta kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal terhadap tubuh badan serta kesihatan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi menyeru orang ramai turut menderma untuk tabung itu sebagai tanda berperikemanusiaan dan rasa bertanggungjawab sesama manusia.
Beliau berkata, apa yang penting, aktiviti itu dapat dilakukan sambil beriadah yang membantukan menyihatkan orang ramai.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada masyakarat di luar sana tanpa mengira lapisan masyarakat untuk turut sama menyertai acara Larian Amal Melaka 10KM NKF ini.
“Melalui program larian amal ini kita juga dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama di samping meningkatkan kesedaran dalam komuniti sekitar tentang aktiviti yang sihat dan melakukan kerja-kerja amal,” katanya.
Sementara itu, yuran pendaftaran pula serendah RM60 bagi 2,000 penyertaan awal dan RM75 selepas tarikh tutup pendaftaran awal, manakala bagi peserta OKU ia adalah percuma.
Untuk pendaftaran, orang ramai boleh membuat secara dalam talian sehingga 20 April ini menerusi muat turun aplikasi Vomos di Apple App Store dan Google Play Store.- MalaysiaGazette