Mohd Rafiq bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas diterima kembali menyertai UMNO berkuat kuasa 18 Mac ini.

MELAKA – Selepas empat bulan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen akhirnya mengesahkan kembali menyertai UMNO yang pernah ditinggalkannya tujuh tahun lalu.

Bekas Naib Presiden Bersatu dan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, keputusan menerimanya itu dilakukan sebulat suara menerusi Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis lalu selepas beliau membuat permohonan beberapa minggu sebelumnya.

Bagaimanapun keahliannya itu hanya berkuat kuasa pada 18 Mac ini selepas berakhirnya pemilihan UMNO yang turut mendapat sokongan barisan kepimpinan tertinggi parti itu termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya sedar, keputusan menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

“Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, tegasnya, kembalinya beliau ke dalam UMNO bukanlah kerana kedudukan parti itu yang telah berada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini sebaliknya beliau dan rakan-rakan telah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dan menyokong UMNO sebelum keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi.

“Saya sedar, kehadiran saya ke dalam UMNO bukan ketika ia melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26 kerusi Parlimen pada PRU15 baru-baru ini.

“Saya ikhlas serta bertekad dan beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO Malaysia, kepimpinan UMNO Negeri Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO,” katanya.

Pada 30 Oktober 2022, Mohd Rafiq mengumumkan keluar parti sekali gus melepaskan semua jawatannya berkuatkuasa serta merta susulan namanya tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada PRU15.

Pada 15 Oktober 2016, lebih 30 pemimpin akar umbi UMNO termasuk Mohd Rafiq mengumumkan keluar daripada UMNO kerana hilang keyakinan terhadap Presiden parti ketika itu Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette