Mohamed Sukri Omar

KLANG – Penduduk Taman Sungai Sireh dekat sini membantah dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan penempatan mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar mendakwa, sebelum ini penduduk telah menghantar surat bantahan rasmi kepada pihak berkenaan, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Katanya, penduduk Taman Sungai Sireh mulanya tidak tahu penempatan mereka terlibat dengan projek ECRL sehingga Ogos tahun lalu selepas media melaporkan projek itu diteruskan di kawasan berkenaan.

“Tidak ada mana-mana pihak berkepentingan datang memaklumkan secara berjumpa terus atau melalui surat rasmi bahawa ECRL akan mengenai rumah penduduk dan sudah mula membuat kerja mengukur tanah serta penandaan di kawasan taman.

“Pewartaan tanah telah dikeluarkan dan kediaman penduduk akan diambil oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan kerajaan negeri, namun penduduk terkilan kerana tidak dipanggil atau dimaklumkan oleh mana-mana wakil.

“Sehingga penduduk taman tubuh jawatankuasa bertindak untuk bertemu dengan MRL, baharulah mereka tahu jajaran projek ECRL ini melalui taman mereka serta jumlah rumah yang akan terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Sukri, satu memorandum telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali untuk tindakan lanjut.

Katanya, jika usaha itu tidak juga berhasil, penduduk bakal mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sebelum projek ini menyusah dan membuat penduduk kecewa, perlu ada ruang untuk kerajaan mendengar suara hati rakyat serta perhalusi semula isu ini jika masih ada harapan kediaman penduduk Taman Sungai Sireh tidak diambil untuk projek ECRL.

“Rakyat tidak akan membantah sebarang usaha pembangunan dan kemajuan negara, namun kehidupan dan kebajikan mereka tidak patut dikorbankan tanpa ada sebarang pembelaan dan ruang untuk bersuara,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tidakkah kerajaan terfikir projek ECRL dilihat seperti memudahkan warga singapore membeli rumah dan bermastautin dlm kelompok besar di malaysia, contohnya di projek perumahan sendayan negeri sembilan yg dibangunkan bagai cendawan tumbuh kerana tmpt tersebut ada laluan ECRL ke singapore. kerajaan perlu curiga mengapa rmh2 dibangunkan dilaluan ECRL dgn harga berjuta ringgit. Melayu mana yg mampu membeli rmh yg berjuta ditanah sendiri? kerajaan mgkn tak perasan sb laluan ECRL dilencungkan kepantai timur dan dilihat utk memudahkan rakyat pantai timur. minta kerajaan meneliti sebaik mgkn tentang laluan ECRL ini yg menghapus penempatan melayu. sedikit demi sedikit tanah org melayu hilang dan skrg sudah hilang dgn byk sekali dari utara hingga selatan. Hak melayu kenapa perlu dilupuskan, itu hak dan tanah mereka. Lihatlah contohnya tanah bukit jalil, tanah melayu yg asalnya milik Tuan Jalil. Tapi skrg bukan milik melayu lagi, ianya seperti dijajah tanpa senjata kerana penuh dgn banglo dan kondo mewah yg tak mampu dibeli org melayu, malah lebih mengejutkan dulu rmh2 mewah dibukit Jalil statusnya leashold tapi sekarang sudah ditukar ke freehold. Jika berterusan begini dan kerajaan gagal menjaga harta melayu tak hairanlah suatu hari nti org2 melayu akan hanyut menaiki tongkang dan meminta simpati mendarat dinegara org dibawah UNCR. Mgkn ada sebabnya Tun Dr. Mahathir menghalang laluan projek ECRL ke Singapore ini diteruskan sblm ini kerana beliau saja yg tau ‘RAHSIA’ tntg laluan projek ECRL

Comments are closed.