Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang lelaki dalam media sosial kononnya terdapat seorang mangsa kemalangan tidak dibenarkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Damansara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, terdahulu pihaknya telah mengesan satu ciapan yang dimuatnaik pukul 9.58 malam tadi oleh pengguna akaun Twitter dikenali  @ManiamMKM.

Ciapan seorang pemilik akaun twitter yang didakwa tiba benar dan fitnah kononnya mangsa kemalangan dihalang buat laporan polis di Bukit Damansara malam tadi.

Dalam ciapan itu, lelaki itu mendakwa kononnya berlaku satu kemalangan jalan raya di kawasan Bukit Damansara dan mangsa terlibat tidak dibenarkan membuat laporan di ‘Balai Bukit Damansara’ serta diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.

“Hasil siasatan polis terhadap dakwaan lelaki itu mendapati ‘Balai Bukit Damansara’ yang dimaksudkan adalah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang telah ditutup sejak 2010 dan tidak beroperasi lagi.

“Pondok berkenaan telah diambil alih oleh Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada 2011.

“Ciapan oleh lelaki dalam Twitter itu merupakan satu fitnah berniat jahat terhadap polis dan polis akan membuat satu laporan berkaitan kes itu,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Amihizam, kertas siasatan berhubung fitnah ciapan lelaki dalam Twitter itu telah dibuka dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Malah, kes juga sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai juga diseru agar tidak mudah percaya dengan sebarang penyebaran maklumat oleh mana-mana individu di dalam laman sosial tanpa usul periksa serta sumber yang sahih dan tepat daripada polis,” tegasnya.- MalaysiaGazette