Harris Idaham Rashid.

GEORGE TOWN – Kerajaan digesa menggubal satu undang-undang mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau internship supaya anak muda tidak menjadi buruh kasar di negara sendiri.

Exco Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, libat urus antara kerajaan dan pemegang taruh itu perlu dilakukan dalam masa terdekat supaya satu kata putus dapat dicapai.

Jelas beliau, isu berkenaan perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi mengelak pelajar berkenaan dilayan seperti tenaga buruh kasar walhal mereka juga perlu elaun untuk menampung kos seharian.

“Armada Bersatu berpendapat anak muda tidak boleh dijadikan buruh kasar di negara sendiri. Kita harus sedar bahawa pelajar internship juga perlu membiayai kos untuk hadir ke pejabat sama seperti pekerja lain.

“Syarikat swasta mengutip untung hasil daripada tenaga kerja termasuk pelajar internship. Syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar internship untuk berkhidmat. Maka wajar untuk kerajaan mewajibkan satu elaun minimum diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu adalah respon balas kepada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang menolak cadangan untuk mewajibkan pemberian elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dilaporkan berkata, kerajaan sebaliknya harus memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih dan kemudian boleh mewajibkan semua pelajar menjalani latihan amali berkenaan.

Mengulas lanjut Harris berkata, sudah tiada ruang untuk syarikat memperoleh perkhidmatan percuma daripada manusia malah, industri di Malaysia harus bergerak mengikut peredaran zaman.

“Selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju, isu asas seperti menghormati tenaga keringat anak muda yang sedang menimba pengalaman bekerja harus diselesaikan dengan tuntas,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast