IDLIB, Syria – Apa sahaja yang ada termasuk menggunakan tangan untuk mengalih bongkah timbunan demi menyelamatkan nyawa mangsa.
Gegaran pada 6 Februari lalu yang meranapkan kediaman, kudrat yang ada amat terhad dan penduduk yang ditemui terkilan sekiranya mempunyai peralatan, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.
“Kami selamatkan mangsa dengan tangan sendiri, dengan peralatan tidak cukup.
“Terima kasih White Helmets satu-satunya yang membantu kami. Semoga Allah membalas jasa mereka,” kata Jumaah Mohamad.
Peristiwa yang menyayat hati turut dikongsi Mohamad Sheikh Isyrah, petugas Turkiye Diyanet Vakfi (TDV).
“Kami berada di kawasan Harem. Lebih kurang jam 4.20 pagi (waktu tempatan) berlaku gempa bumi. kemusnahan seperti yang anda lihat.
“Kami kekurangan peralatan sehingga lewat untuk keluarkan mangsa di bawah runtuhan,” katanya.
Ditanya mengenai detik-detik kejadian, mereka yang terselamat mengakui pada mulanya menyangka ia angkara serangan udara rejim Bashar al Asad dan Rusia.
Menyelusuri kesan kemusnahan, ia sebenarnya lebih dasyat daripada apa yang dilaporkan media antarabangsa kerana jumlah korban dan bilangan mereka yang cedera tidak mempunyai angka sahih.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bantuan terdesak berskala besar perlu digerakkan segera ke utara Syria.
Keperluannya amat kritikal kerana kebanyakan mereka terkesan adalah pelarian yang selama ini banyak bergantung kepada sumbangan luar untuk kelangsungan hidup sejak konflik bermula 11 tahun lalu.
Musibah yang datang bertimpa-timpa kini perlu diberi perhatian masyarakat antarabangsa kerana sebarang kelewatan menjadi satu lagi musibah kemanusiaan.
Berdasarkan keperluan itu sumbangan orang ramai amat diperlukan.
“Jadi kita melihat keperluan utama di sini adalah rumah-rumah kerana mereka tiada penginapan dan mungkin kita boleh menyampaikan bantuan berupa khemah sementara untuk mereka untuk mendiaminya, bekalan perubatan untuk mengubati mereka yang tercedera dan sudah pasti makanan asas yang menjadi keperluan utama,” kata Naib Presiden Mapim, Zulhanis Zainol.
Selain itu jelasnya, selimut tebal, pemanas dan bahan api juga amat diperlukan kerana ketika ini kerana keadaan cuaca yang amat sejuk.
Mapim katanya telah menggerakkan bantuan berskala besar dan sumbangan boleh dibuat di http://www.mapim.org . – MalaysiaGazette