KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini untuk memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa.
Dalam masa yang sama beliau berkata, suruhanjaya tersebut menyatakan kehadirannya hanya untuk menjawab beberapa soalan mengenai projek berkenaan, bukannya sebagai suspek.
Jelas Muhyiddin, antara keterangan yang telah diberikannya adalah berkaitan penganugerahan kepada kontraktor yang dipilih bawah projek berkenaan.
“Proses menimbang hingga lulus tidak melibatkan Perdana Menteri. Ini penting untuk saya jelaskan. Punca kuasa bukan di PMO, punca kuasa adalah di peringkat MOF (Kementerian Kewangan).
“Cuma diminta untuk disalurkan pada saya supaya kita boleh kemukakan, itu saja caranya. Jadi apa ada terlibat dengan saya? Tidak ada, saya hanya menyalurkan sahaja.
“Adakah saya memutuskan? Tidak sama sekali,” katanya ketika ditemui seleas melancarkan Blood Donation Drive anjuran Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.
Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menambah, beliau tidak mengenali kontraktor yang dipilih dalam projek berkenaan.
“Saya jelaskan juga sebahagian antara lain samada saya kenal ke kontraktor-kontraktor itu semua, saya tak kenal. Tidak pernah berjumpa dengan mereka, nama-nama syarikat pun saya tidak tahu. SPRM ada bacakan ketika ktu, tetapi saya tidak tahu siapa.
“Saya tanya adakah saya suspek? SPRM kata bukan,” kata beliau lagi.
Ujarnya, SPRM sama sekali tidak menyebutkan tentang dana bernilai RM600 bilion yang sebelum ini dikaitkan dengan dirinya.
“Jadi maknanya itu sahaja secara spesifik berkenaan dengan projek Wibawa tidak ada RM600 bilion, langsung saya tidak ditanya RM530 bilion yang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tuduh atau RM86 bilion RM45.5 bilion.
“(Jadi) Hari ini semua orang tahu itu adalah satu tuduhan yang agak serius tapi terbukti tidak melibatkan saya,” tegasnya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyifatkan tuduhan yang dibuat terhadapnya sebelum ini berniat jahat untuk memberikan persepsi buruk terhadap dirinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.
“Tuduhan ini hanya untuk mencemarkan nama baik saya. Nak tunjuk saya jahat, penipu. Orang kata niat jahat pimpinan Pkatan Harapan (PH) ini kerana tidak lama lagi PRN,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lagi.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, SPRM mungkin akan memanggil bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi keterangan mengenai projek Jana Wibawa dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette