Tangkap layar menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda di sebuah sekolah dalam daerah SPS di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Pelajar yang terlibat dalam kegiatan vandalisme di sebuah sekolah menengah dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang akan dilibatkan dalam khidmat komuniti.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berkata, tindakan tersebut diambil sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi
memastikan perkara sama tidak berulang.

“JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan
memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

“Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini,  tular dua rakaman video menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda di sebuah sekolah.

Orang awam yang memuat naik video tersebut mendakwa pelajar-pelajar berkenaan merupakan pelajar tahun akhir di sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menghadiri Program Bantuan Awal Persekolahan Kadun Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nibong Tebal hari ini berkata, siasatan lanjut berhubung insiden tersebut sedang dilakukan pihak sekolah termasuk memanggil ibu bapa kepada pelajar berkenaan.

Tambah beliau, pelajar yang dikenal pasti itu akan diberikan bimbangan serta kaunseling susulan berdasarkan video tular tersebut ia dilihat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut kenyataan, itu, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering kali diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

Katanya, JPN Pulau Pinang sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

“Justeru kempen hentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang meminta portal-portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid untuk memadam video tersebut kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette