NIBONG TEBAL – Sekumpulan pelajar yang terlibat dalam kegiatan vandalisme di sebuah sekolah menengah dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan lanjut berhubung insiden tersebut sedang dilakukan pihak sekolah termasuk memanggil ibu bapa kepada pelajar berkenaan.
Jelas beliau, pelajar yang dikenal pasti itu akan diberikan bimbangan serta kaunseling susulan berdasarkan video tular tersebut ia dilihat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kita ambil maklum insiden tersebut dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau ketat proses-proses siasatan yang dilakukan terhadap pelajar tersebut.
“Jadi pihak sekolah akan jalankan siasatan mengapa pelajar tersebut bertindak sedemikian selain bimbangan dan kaunseling kepada anak-anak (pelajar) itu.
“Kita memang tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bantuan Awal Persekolahan Kadun Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nibong Tebal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadlina meminta orang awam menurunkan video yang memaparkan tindakan vandalisme pelajar tersebut yang telah dimuat naik di media sosial.
“Saya harap perkara ini tidak ditularkan kerana kita nak menjaga dan memelihara identiti anak-anak itu serta sekolah terbabit.
“Sehubungan itu, saya harap semua pihak dapat menurunkan video tersebut supaya kita dapat memberikan tumpuan untuk pemulihan kanak-kanak ini, khususnya kaunseling kepada mereka.
Sementara itu, ketika ditanya kegiatan vandalisme dalam kalangan pelajar seolah menjadi budaya, Fadlina menafikannya sebaliknya menegaskan wujud perkara lain yang menyebabkan pelajar berkelakuan sedemikian.
“Saya tak fikir itu budaya dan tak wajar pun dijadikan budaya.
“Saya fikir ada perkara lain yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan tersebut,” ujar beliau.
Terdahulu, tular dua rakaman video menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda di sebuah sekolah.
Orang awam yang memuat naik video tersebut mendakwa pelajar-pelajar berkenaan merupakan pelajar tahun akhir di sebuah sekolah di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette