Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 133.5, Jalan Kuantan - Johor Bahru hari ini.

ROMPIN – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 133.5, Jalan Kuantan – Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa, Shahrizal Shamsuddin, 41, meninggal dunia di lokasi nahas selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Manakala dua lagi mangsa terselamat iaitu pemandu kereta, Amirul Aiman Abd Raof, 19, yang beralamat Tanjung Batu, Nenasi, Pekan manakala seorang penunggang motosikal, Mohd Azman Md Yusof, 48, dari Ulu Tiram, Johor.

“Nahas melibatkan tiga jenis kenderaan iaitu dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha dan BMW serta sebuah kereta jenis Honda City Hatchback.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda City yang cuba membelok ke kanan untuk ke Petronas Luar, Kuala Rompin telah dilanggar sisi kanan kenderaan oleh motosikal jenis Yamaha dipandu Shahrizal yang datang dari arah belakang.

“Sebuah lagi motosikal lain dipandu Mohd Azman dari arah sama turut bergesel dengan kereta tersebut lalu terbabas ke kanan jalan hingga menyebabkan pelanggaran itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Rompin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette