Sebanyak 13 naskah kitab suci al-Quran yang ditemui dalam keaadaan terapung dalam longkang sebuah tasik di Jinjang telah diselamatkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut- Gambar iIhsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Penemuan sebuah beg berisi beberapa naskah kitab al-Quran  di dalam sebuah longkang telah menggemparkan penduduk di sekitar Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan mengenai penemuan beg berisi kitab suci agama Islam itu dalam longkang.

Wanita itu mendakwa dia menjumpai kitab berkenaan yang disyaki sengaja dibuang di dalam longkang itu ketika sedang beriadah bersama suaminya di kawasan Tasik Sri Murni Jinjang  sekitar jam 11.32 pagi tadi.

“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu jam lebih kurang 6.30 petang selepas sebuah video mengenai penemuan tersebut juga telah tular di platform media sosial TikTok.

“Hasil siasatan awal mendapati pengadu yang sedang beriadah bersama suaminya telah ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik sebelum senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.

“Kemudian, pengadu telah meminta bantuan dari seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali  untuk membawa naik beg itu dan kesemua naskah al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama untuk disimpan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai,  polis telah membuat semakan di platform media sosial TikTok dan mengesahkan terdapat satu hantaran yang berkaitan dengan aduan yang dilaporkan oleh pengadu seperti mana dipautan https://vt.tiktok.com/ZS8mYtW4L/ .

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskah al-Quran yang telah dijumpai di dalam longkang sebenarnya sengaja dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

“Kesemua naskah al-Quran yang ditemui dalam longkang tasik itu kini telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Polis Kuala Lumpur menasihati semua orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum,” katanya.

Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast