Kumar menunjukkan barang rampasan dalam serbuan yang berjaya dilakukan polis di Kluang pada Khamis lalu.

JOHOR BAHRU – Bungkus dadah dalam peket serbuk teh!

Itu taktik seorang lelaki bagi mengaburi mata pihak berkuasa bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah di Kluang dekat sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pihakya  berjaya menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah  itu dalam serbuan di sebuah rumah sewa pada Khamis lalu dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.16 juta.

“Serbuan dilakukan pukul 1.30 tengah hari itu mendapati suspek merupakan warga tempatan berusia 27 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) hari ini.

Menurut Kumar, serbuan telah dilakukan di sebuah rumah taman dan kita polis telah menemui beberapa dadah di dalam rumah terbabit termasuklah 35.74 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (2.52 kg), 10,800 biji pil erimin 5 (3.24 kg) 4,869 biji pil ekstasi (1.67 kg).

Sebelum itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melancarkan empat serbuan ke atas empat buah rumah di sekitar Kluang.

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 27 tahun ditangkap dan dadah berkenaan dirampas dalam serbuan pertama.

“Tiga serbuan berikutnya kita tidak menemui apa-apa barang kes,” katanya.

Kumar berkata, modus operandi yang digunakan suspek yang aktif sejak November tahun lalu itu adalah menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Jelasnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penglibatan individu lain serta hubungan antara penyewa rumah yang disewa oleh individu lain dalam kegiatan ini.

“Hasil siasatan awal kita mendapati, kesemua rumah terbabit adalah disewa oleh individu lain dan kita masih melakukan siasatan terhadap hubungan mereka.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek adalah negatif penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas empat buah kereta termasuk sebuah kereta yang didaftarkan atas nama suspek iaitu Proton Persona.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette