KUALA LUMPUR – “Lawan dan menang cara gentleman!”
Itu penegasan Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO pada 23 Februari ini.
Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Permuda UMNO berkata, ahli akar umbi parti itu akan menolak jika ada pihak yang mahu menang dengan cara teknikal.
“Kalau nak menang setakat cara main teknikal ini, akar umbi pasti tidak akan setuju. Fight dan menang cara gentleman. Istiqamah dalam perjuangan insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.
Pada 23 Februari ini, Lembaga Disiplin UMNO akan memanggil Armand Azha bagi meminta penjelasan beberapa tindakannya yang telah melanggar disiplin parti sebelum ini.
Sebarang keputusan menggantung keahlian atau memecatnya akan meragut peluangnya bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan parti Mac ini.
Armand yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebagai seorang yang mencintai parti, beliau bersedia dengan apa sahaja keputusan yang akan diambil oleh Lembaga Disiplin.
“Resam dalam perjuangan. I’m a partyman. Apa jua keputusan dibuat insya-Allah saya terima dengan hati terbuka. Nak lawan Ketua Pemuda UMNO Malaysia hati kena cekal dan kuat hadapi apa jua cabaran di hadapan,” katanya.
Armand yang juga ketua UMNO Bahagian Subang merupakan calon untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dikosongkan penyandangnya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau dilihat sebagai ‘orang kuat’ kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Sebelum ini UMNO menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Sufian.
Parti itu turut memecat bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin serta bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette