KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang 13 naskhah al-Quran ke dalam longkang semalam.
Beliau berkata pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk menyiasat insiden itu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang sengaja melakukan perbuatan tersebut berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan penghargaan serta memuji keprihatinan tinggi pihak berkuasa serta ahli-ahli jawatankuasa pengurusan masjid setempat dan orang ramai yang bekerjasama menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh serta penuh berhemah sebagai tanda menghormati kemuliaan al-Quran,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut menasihati orang ramai agar sentiasa memelihara kemuliaan naskhah al-Quran pada setiap masa.
Beliau berkata garis panduan dan kaedah untuk melupuskan naskhah al-Quran boleh dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
“Ia perlu diurus dengan penuh cermat dan tertib untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.
Mohd Na’im juga berkata pihaknya akan terus mempertingkat program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam.
Semalam, sebanyak 13 naskah al-Quran ditemukan dipercayai sengaja dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang di sini pada 6.30 petang seperti yang tular di media sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya telah membuka siasatan berhubung insiden itu susulan laporan oleh seorang wanita tempatan pada 11.32 pagi tadi.- BERNAMA
Ambillah ikhtibar hentikan beri Qur’an percuma sebaliknya jual dengan harga mampu milik kepada pembeli sekiranya tiada rasa spiritualistic maka pasti ada rasa materialistic takkan buang Qur’an bernilai wang berharga sewenang-wenangnya.