KAJANG – Seorang pemandu lori yang membawa kabel elektrik curi panik ketika diarahkan berhenti oleh polis sehingga melanggar palang tol dan melanggar beberapa kenderaan lain di Sungai Chua hari ini.
Pemandu berkenaan dikejar polis sejauh 28.4 kilometer sehingga ke Bandar Saujana Putra sebelum cuba terjuN ke sebuah tasik namun gagal apabila diberkas oleh polis dengan bantuan orang awam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu berlaku pukul 3.30 pagi tadi.
“Semasa polis cuba menahan dan mengarahkannya untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan, suspek yang panik enggan bekerjasama dan terus memecut kenderaan untuk melarikan diri sehingga ke arah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
“Pasukan polis sekali lagi cuba menghentikan lori berkenaan tetapi dihalang oleh suspek dengan cara melakukan aksi bahaya dengan bergerak dari kiri dan ke kanan jalan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain serta anggota polsi yang mengejarnya.
“Pasukan polis terus mengekori lori suspek sehingga di Plaza Tol Ayer Hitam dan didapati lori berkenaan tidak berhenti dan terus melanggar palang tol dan meneruskan perjalanan ke arah Banting sehingga susur keluar ke Saujana Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Zaid, sejurus tiba di Plaza Tol Saujana Putra, pemandu lori itu sekali lagi melanggar palang Tol Saujana Putra dan masuk ke Jalan Saujana Putra selain melanggar beberapa buah kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.
Ujarnya, lori yang dipandu suspek akhirnya berjaya ditahan di Jalan SP 6/2 Bandar Saujana Putra.
“Suspek yang berbangsa India berumur 34 tahun kemudian cuba melarikan diri dengan cuba terjun ke dalam tasik berhampiran tetapi dengan bantuan orang awam, suspek tersebut dapat ditangkap.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam lori yang dipandu suspek polis berjaya menemui 25 unit batang kabel yang telah dipotong dipercayai hasil curi dan beberapa alat memotong kabel.
“Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau sebelum ini manakala ujian saringan air kencing saspek adalah positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.
Tegas Mohd Zaid lagi, rentetan kejadian itu, satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan terhadap suspek kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh dihukum dengan penjara selama tiga bulan atau denda RM1, 000 atau dengan kedua-duanya sekali.
suspek disiasat dibawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan munasabah mengenai kewujudan kabel bersamanya semasa ditangkap.
Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana- mana balai polis berdekatan atau terus mengubungi pegawai penyiasat Sarjan Wan Noorhasmizan Wan Asri di talian 012-954 8532 bagi membantu siasatan.
Kerjasama orang ramai diperlukan bagi menangani masalah kecurian kabel di sekitar Kajang. – MalaysiaGazette