Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam sebagaimana berlaku di Terengganu semalam amat tidak wajar.

Katanya, perarakan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Saya telah dimaklumkan mengenai penganjuran sebuah program perhimpunan pemuda yang turut melibatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam. Perarakan ini telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara.

“Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Tular di media sosial sejak semalam foto peserta himpunan Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak, pedang dan perisai ketika penganjuran program itu.

Selain itu, turut tular gambar memaparkan pacuan empat roda yang membawa objek berbentuk sebilah pedang besar di bahagian muatan belakang kenderaan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Husain berkata, pihaknya masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta terbabit.

Menurut Dr. Mohd Na’im lagi, semua pihak  bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

Ujar beliau, apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlu dielak sama sekali.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.