Liew Chin Tong -Foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan penambahan ‘Charging Point’ telah dicadangkan untuk Belanjawan 2023.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, dalam belanjawan lepas kerajaan telah memberikan pengecualian penuh duti import, duti eksais dan cukai jalan EV yang dipasang secara tempatan atau diimport secara CBU (Completely Built-Up).

Pengecualian penuh cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan dan pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

Kerajaan juga menurut beliau, melalui Kementerian Kewangan sedang memperhalusi cadangan mempertingkatkan jumlah penggunaa EV termasuk hibrid sebagai kenderaan jabatan dan kenderaan rasmi jawatan.

Selain itu, kenderaan pengangkutan awam darat juga akan terus digalakkan untuk penukaran kepada kenderaan yang menggunakan elektrik.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) dalam menyatakan dasar MITI untuk menggalakkan penggunaan EV.

“Prosedur semasa bagi kelulusan pemasangan sistem pengecasan EV (Electric Vehicle Charging System – EVCS) sedang diteliti bagi mengurangkan tempoh masa pemprosesan kelulusan pemasangan.

“Suruhanjaya Tenaga juga telah mengeluarkan satu panduan untuk aktiviti pemasangan EVCS bagi memastikan sistem pengecasan EV yang dipasang adalah selamat untuk digunakan oleh pengguna selain mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Chin Tong berkata, melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, kerangka strategi pembangunan dan perancangan pengecaj EV di negara ini juga sedang dibangunkan.

Jumlah permintaan terhadap EV telah melonjak kepada lebih 3,400 unit pada 2022 berbanding 300 unit secara purata setiap tahun pada tahun-tahun sebelumnya.

Manakala jumlah stesen pengecasan meningkat pada kadar 51% pada 2022 berbanding pada 2020, menjadikan jumlah stesen pengecasan telah mencecah 900 unit pada ketika ini.-MalaysiaGazette