Ahmad Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bagaimanapun berkata,  pindaan itu tidak akan menyekat kebebasan bersuara.

“KKD mempunyai perancangan untuk meminda Akta 588 namun tidak bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara.

“Tetapi untuk memantapkan kerangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian (security and reliability),” kata Ahmad Fahmi dalam Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Arau (PN), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yang bertanya sejauh mana Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai pengawal kepada kebebasan media yang tiada had sempadan penyebaran terutamanya di media elektronik.

Shahidan turut bertanya, sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula akta berkaitan kebebasan bermedia bagi menangani masalah pemberita yang tidak beretika dan jujur dalam mengeluarkan kenyataan media seperti peletakan tajuk artikel yang bercanggah dengan kandungannya.

Sementara itu Ahmad Fahmi menegaskan, wartawan mempunyai hak memastikan keselamatan identiti ‘sumber’ mereka dilindungi dalam menyampaikan sesuatu maklumat.

Bagaimana media perlu seimbangkan maklumat daripada sumber dengan isu fitnah

“Saya beri contoh baru-baru ini ada sebuah syarikat Awesome TV menerbitkan satu berita fitnah mengatakan berdasarkan sumber bahawa kerajaan bercadang membuang lebih 800,000 penjawat awam.

“Ini adalah fitnah yang sangat jelas. Tidak perlu kita sebut. Syarikat Awesome TV telah sebanyak enam kali pelanggaran, lima kali sebelum ini.

“Jadi pada pukul 12.30 tengah hari ini Suruhanjaya akan bertemu Awesome TV membincangkan pelanggaran ini berlaku waima sebelum pentadbiran sebelum ini,” kata Ahmad Fahmi.

Katanya, pertemuan itu akan bersifat perbincangan dengan pihak berkuasa untuk mencari titik temu.

Ahmad Fahmi berkata, kerajaan sentiasa memandang serius isu etika kewartawanan.

Wartawan katanya, harus berpegang teguh kepada prinsip dan etika kewartawanan dengan hanya melaporkan berita yang tepat dan sahih selaras peruntukan undang-undang.

Sebarang siaran maklumat yang tidak benar perlu diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut.

Menurut Ahmad Fahmi, seseorang yang melanggar subseksyen (1) di bawah peruntukan seksyen 211, Akta 588 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pesalah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – MalaysiaGazette