GEORGE TOWN – Mayat anggota polis berpangkat sarjan yang maut selepas dipercayai menembak dirinya sendiri telah dituntut keluarga untuk dibawa pulang ke kampung halamanya di Sri Aman, Sarawak hari ini.
Terdahulu, proses bedah siasat yang bermula jam 10 pagi tadi ke atas mangsa selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati isteri mendiang Jana AK Milie berada di pekarangan jabatan itu bersama anak lelakinya serta beberapa ahli keluarga.
Waris terdekat anggota polis itu berkata, mendiang sempat bertemu dengan isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Balik Pulau serta anak lelakinya sebelum keluar bertugas petang semalam.
Jelas lelaki itu, mangsa seorang yang peramah dan suka melawak namun sejak kebelakangan ini dilihat lebih suka bersendirian.
“Keluarga tahu dia ada masalah memandangkan kelakuannya tidak seperti sebelum-sebelum ini tapi tiada apa yang dikongsikan sehingga kami dikejutkan dengan berita kematiannya.
“Selain itu, dia juga bercadang untuk membawa anak lelakinya pulang ke Sarawak pada pertengahan Februari lalu namun tidak sangka dia (anggota) pulang buat selama-lamanya.
“Perancangan keluarga untuk bawa pulang mayat mendiang ke Sri Aman memandangkan dua anak perempuannya menetap di sana manakala di sini dia tinggal bersama isteri serta anak lelakinya saja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas dipercayai menembak diri sendiri di pekarangan belakang Balai Polis Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 51 tahun itu bertugas di balai polis sama dan dia ditemui mati dengan tiga kesan tembakan.
Difahamkan, si mati mempunyai masalah keluarga dan kesihatan.
Anggota yang berasal dari Sarawak itu telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir 32 tahun dan meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak. – MalaysiaGazette