KUALA LUMPUR – Datuk Norliza Abdul Rahim akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang disandangnya pada pemilihan kali ini.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor berkata, sebagai ahli parti yang setia, nekad dan iktikadnya untuk terus berdiri teguh membantu kepimpinan utama parti dalam agenda pemerkasaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Dengan penuh rasa rendah diri, insaf dan tawaduk saya menawarkan diri untuk terus mengekalkan jawatan yang sedia disandang ketika ini iaitu Naib Ketua Wanita UMNO.
“Semoga hasrat murni ini mendapat sokongan, dukungan seterusnya diterjemah dalam bentuk undi oleh ahli Wanita UMNO seluruh negara. Usaha, tawakal dan doa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara akan memilih kepimpinan baharu bagi penggal 2023-2026 pada 11 Mac ini. – MalaysiaGazette