Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan mahkamah selepas permohonan rayuan menyemak sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta bersambung 20 hingga 22 Februari depan di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bagaimana seorang peguam lantikan Datuk Seri Najib Razak untuk prosiding akhir rayuan sabitan dan hukuman membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd (SRC) menarik diri pada saat-saat akhir.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menarik diri apabila setiap permohonan beliau merayu kepada mahkamah untuk memberikan masa untuk meneliti kes itu sebelum hujahan akhir ditolak.

Bagaimanapun tindakan ditolak mahkamah, sebaliknya ‘memaksa’’ beliau terus wakili diri secara paksa (forced representation) dalam prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Peguam yang meakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata. anak guamnya tidak mendapat keadilan dan haknya dinafikan oleh mahkamah.

“Apa yang berlaku tidak adil dan anak guam saya dinafikan haknya. Peguam sebelum ini tidak dibenarkan menarik diri sebaliknya terus dipaksa berada dalam mahkamah.

“Tindakan itu saya umpamakan seperti peguam itu tidak lebih daripada ‘hiasan’ atau ilusi. Tidak berbuat apa-apa malah tindakan itu juga tidak mengikut peruntukkan undang-undang. Ini tidak betul, sebaliknya satu kesalahan cukup besar yang bertentangan dengan asas perbicaraan adil.

“Mahkamah tidak mahu beri masa kepada peguam bela untuk menyiapkan diri bagi berhujah mengapa rayuan ini penting dan sabitan yang dikenakan terhadap anak guam kami,” katanya

Beliau menyatakan demikian di hadapan lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Muhammad Shafee berkata, Hisyam memberitahu mahkamah beliau memerlukan masa antara tiga hingga empat bulan untuk meneliti rekod rayuan dan nota prosiding kerana baharu mengambil alih kes berkenaan dan pasukan pendakwaan tidak mengemukakan bantahan.

“Tindakan yang sebetulnya boleh diambil oleh mahkamah jika tidak ada peguam ialah batalkan rayuan dengan bebaskan pemohon untuk memfailkan semula. Anak guam tidak boleh hujah sendiri. Tetapi mengapa ambil keputusan untuk hukum anak guam saya?

“Mengapa sebelum ini penangguhan untuk kes-kes besar boleh sahaja,” soalnya.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Muhammad Shafee merujuk kepada permohonan penangguhan yang ditolak oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun telah dimaklumkan bahawa peguam terbabit baru saja dilantik oleh Najib.

Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co. sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan firma terbabit.

Bekas Perdana Menteri itu menukar barisan peguam tiga minggu sebelum tarikh pendengaran rayuan akhir yang akan bermula pada 15 Ogos 2022.

Ketika itu juga Najib memohon untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhir, namun ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini merupakan hari pertama prosiding semakan oleh Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman membabitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Selain Abdul Rahman Sebli turut bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette