KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan apa juga tekanan terhadap dirinya.
Katanya, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen yang dipilih untuk membawa suara pengundi di kawasan Sembrong.
“Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pengundi di Sembrong kerana telah sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili suara mereka di dewan yang mulia ini.
“Bersandarkan mandat ini, saya tidak akan apologetik, saya tidak akan sesekali tunduk kepada apa jua tekanan dan dengan izin without fear dan favour, saya akan terus memikul amanah serta tanggungjawab sebagai ahli Parlimen yang telah diletakkan di atas bahu saya oleh mereka,” katanya semasa memulakan sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Selepas menghabiskan ayatnya itu, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota – PN) mencelah dan bertanya adakah Hishammuddin merujuk kepada penggantungannya sebagai ahli UMNO baru-baru ini.
Bekas Naib Presiden UMNO itu kemudian menjawab; “Tidak kiralah, gantung tidak gantung ini macam nak pancing (ayat itu nak pancing)”.
Pada Januari yang lalu, Hishammuddin antara yang digantung selain Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Keputusan berkenaan dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama.
Manakala Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.
Selain itu, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar serta lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang dipecat keahlian.-MalaysiaGazette