Mangsa terselamat, Abdul Rahman Ahmad bercakap kepada Malaysia Gazette selepas gempa bumi yang melanda rumahnya di Jandares, Afrin, Syria. Foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2023.

JANDARES (Syria)- Pengalaman berdepan dengan gegaran, menyaksi sendiri kematian di depan mata serta tangisan dan teriakan meminta tolong di bawah timbunan runtuhan berlegar-legar dalam ingatan Abdul Rahman Ahmad.

Warga emas yang ditemui di Jandares, utara Syria berkali-berkali-kali melafazkan rasa syukur kerana dia dan anggota keluarganya terselamat dalam bencana pada 6 Februari lalu.

Bercerita mengenai sisa bangunan runtuh di pinggir jalan dia berdiri, Abdul Rahman bercerita hanya saudara lelakinya bersama isteri serta anak lelaki terselamat selebihnya lagi menjadi korban bencana.

“Ada saudara saya, dia dan beberapa anak lelakinya, berada dalam bangunan. Apabila bangunan itu runtuh, hanya dia bersama isteri dan seorang anak lelaki, berjaya diselamatkan dalam keadaan masih hidup. Mangsa lain dalam bangunan itu, terkorban. Semuanya, sekitar 13 orang,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, sebaik kejadian semua yang terselamat berhempas pulas menggunakan segala yang ada untuk mengeluar seramai mungkin mangsa yang terperangkap.

Katanya lagi kesemua bangunan yang runtuh didiami ramai keluarga.

“Mangsanya, terlalu ramai. Alhamdulillah, ada yang terselamat. Mereka ini berjaya diselamatkan oleh anggota keselamatan awam.

“Pasukan bantuan awam, orang awam dan yang lain, berjaya selamatkan mereka. Sekarang, terdapat gegaran susulan berlaku,” ceritanya.

Beliau yang tinggal sekitar 200 meter daripada kawasan runtuhan bercerita panjang lebar mengenai kemusnahan yang berlaku.

Katanya lagi, bangunan yang ranap menyembah bumi bukannya yang lama tetapi baru dibina.

“Semua bangunan yang dibina dua tahun lalu, kini runtuh.

“Sekitar 200 hingga 250 bangunan telah runtuh, bermula dari bahagian bandar ini hingga ke penghujungnya.

“Banyak kemusnahan berlaku di sana.

“Lebih teruk daripada kemusnahan di sini.

“Di sini dua bangunan, di sana tiga bangunan. Di bandar ini, dinding di kebanyakan rumah, retak. Terdapat juga yang berlubang,” ceritanya tanpa henti ketika ditemui anggota misi Bantuan Kecemasan Gempa Turkiye-Syria Mapim di tapak kejadian di tengah-tengah bandar Jandares.

Seperti mangsa yang lain, dia sendiri buntu apabila ditanya mengenai kelangsungan hidup.

Rumahnya yang selama ini menjadi tempat berteduh, tidak lagi selamat.

Jelas beliau, keretakan ada di mana-mana.

Ketika itu, Abdul Rahman melontarkan persoalan kepada kami yang mengerumuninya.

“Semua ini memerlukan pemulihan. Siapa yang nak tolong?

“Saya tak pasti. Ada beberapa pihak datang. Tetapi, saya tak pasti untuk apa atau apa yang mereka buat. Mereka beritahu bahawa mereka sedang mengira jumlah bangunan yang terkesan. Mereka daripada agensi dan jurutera,” kataya.

Menurut statistik yang dikeluarkan Majlis Tempatan Jandares, 257 bangunan runtuh sepenuhnya di kawasan yang masih bergolak dengan isu keselamatan kerana diancam kumpulan pengganas Kurdish

Laporan sehingga 16 Februari lalu mengesahkan lebin 800 nyawa terkorban. Namun tiada angka tepat disahkan kerana skala kemusnahan yang besar.

Apa yang menjadi isu ketika ini adalah kelangsungan mangsa yang terselamat kerana ia
menjadi satu lagi ujian selepas hampir 11 tahun terperangkap dalam konflik perang saudara.

Kepada mereka yang ingin membantu sumbangan boleh dibuat menerusi www.mapim.org-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast