KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) membatalkan cadangan supaya Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bergabung dengan Fakulti Sains Komputer & Matematik dan Fakulti Sains Informasi.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memutuskan agar fakulti yang mengeluarkan ramai wartawan dan intelek media itu tidak digabungkan seperti yang pernah diumumkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor pada Oktober lalu.
“Kementerian telah memperhalusi cadangan dan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak sejak isu penggabungan ini dibawa ke perhatian saya dan merasakan ianya tidak harus dilengahkan lagi,” katanya.
Perkara itu dipetik Persatuan Alumni Masscomm UiTM dalam dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Masscomm, Basree Rakijan berkata, persatuannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT yang telah memberikan reaksi positif terhadap bantahan yang yang disuarakan persatuan itu baru-baru ini.
“FKPM yang telah 50 tahun ditubuhkan merupakan satu fakulti yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini.
“Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenalpasti demi mempastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan FKPM yang lebih berwibawa,” tambah Basree lagi. – MalaysiaGazette