Mayat lelaki warga tempatan disyaki dibunuh telah ditemui terapung di bekas tasik belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah Cyberjaya, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Tiga lelaki warga asing yang telah ditahan membantu siasatan pembunuhan seorang pengembala lembu dan mencampak mayat di dalam tasik belakang Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya akan didakwa di mahkamah Khamis ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, polis telah mendapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 23, 41 dan 52 tahun itu di Mahkamah Sepang pada 23 Februari ini.

Sebelum ini, polis telah tahan reman kesemua tiga suspek warga asing itu selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Februari lalu untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor pada Selasa lalu dan Timbalan Pendakwa Rayamengarahkan agar ketiga-tiga suspek dituduh di mahkamah pada 23 Februari ini (Khamis) jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Sepang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Suspek pertama dan kedua akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka juga bersama suspek ketiga akan turut didakwa di bawah Seksyen 15 (1) dan 6(1) di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mahkamah sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengembala lembu mati ditetak gara-gara cinta tiga segi

Suspek keempat iaitu seorang wanita warga tempatan yang merupakan kekasih rebutan kesemua suspek dan simati akan dijadikan saksi pendakwaan di mahkamah dalam kes ini.

Mayat lelaki tempatan itu ditemui polis pada 11 Februari lalu pada jam lebih kurang 10.15 malam selepas menerima maklumat awam.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terapung sebelah sebuah kereta pacuan empat roda di dalam tasik belakang masjid di Cyberjaya.

Susulan penemuan mayat itu, polis berjaya menangkap tiga suspek warga India yang bekerja sebagai pencuci kereta dalam beberapa siri serbuan di Kampung Sri Aman, Puchong 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette