Mayat lelaki warga tempatan ditemui terapung di sebuah tasik di sebelah kenderaan pacuan empat roda. Foto: IPD Sepang.

PUTRAJAYA – Perebutan kekasih akibat cinta tiga segi berakhir dengan tragedi apabila nyawa seorang pengembala lembu melayang selepas beliau mati ditetak tiga lelaki warga India.

Mayat mangsa ditemui di sebelah kenderaan miliknya yang ditenggelamkan suspek di sebuah tasik berhampiran Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, tiga lelaki berusia 23 hingga 52 tahun itu bekerja di pusat mencuci kereta ditahan dalam beberapa serbuan Puchong, semalam.

“Berdasarkan hasil soal siat dan berpandukan maklumat suspek pertama dan kedua itu, polis berjaya mencekup suspek ketiga berusia 52 tahun pada jam lebih kurang 2.30 pagi tadi (Isnin) di sebuah penempatan Taman Puchong Prima, Puchong.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek polis berjaya merampas sehelai seluar jenama Elmer warna hijau dan baju lengan panjang mempunyai kesan kesan darah yang mana disyaki turut bersubahat dalam pembunuhan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 10.15 malam semalam yang menemui mayat seorang lelaki berpakaian lengkap terapung dalam tasik tersebut di sebelah sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Wan Kamarul, serbuan ke lokasi pertama membawa kepada rampasan tiga buah telefon bimbit yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Tambah beliau, berpandukan arah dua suspek pertama pada 12.05 awal pagi tadi anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ IPD Sepang) dan unit forensik Bukit Aman melakukan serbuan dan rampasan sebilah parang di dalam kandang lembu yang terletak di bawah jambatan Lebuhraya Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya.

“Hasil soal siasat lanjut mendapati lelaki berusia 23 itu mengaku terlibat pembunuhan itu selepas berang pecah tembelang kekasihnya ditiduri si mati serta hubungan intim si mati bersama kekasih suspek sebelum menetak serta mencampak si mati ke dalam tasik bersama kereta.

“Manakala suspek kedua berusia 41 tahun pula yang tinggal serumah dengan mangsa dalam siasatannya tidak mengaku terlibat dalam kes pembunuhan itu sementara suspek pertama dan ketiga didapati tinggal di rumah tempat lain.

“Selain itu ketiga-tiga suspek warga asing itu bekerja sebagai tukang cuci kereta di Kampung Sri Aman, Puchong manakala suspek kedua berusia 41 tahun itu sentiasa membantu s imati untuk membersihkan kandang lembunya di bawah jambatan tersebut,” ujarnya.

Kata beliau, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 19 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette