Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepaskan dan dibebaskan dari Mahkamah Tinggi daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengemukakan keterangan 29 saksi pada perbicaraan melibatkan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan perkara itu kepada Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mazery Mohd Zaini selesai memberi keterangan.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan enam saksi kepada pihak pembelaan sekiranya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipanggil membela diri.

“Pihak pendakwaan menutup kes selepas tiada lagi saksi yang perlu dipanggil untuk memberi keterangan dan enam saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan.

“Mereka ialah Datuk Dr Marzuki Mohamad, Adam Radlan Adam Muhammad, Asmar Asmadi Abdullah Sani, Datuk Seri Asri Hamidon, Datuk Mohd Ayob Mohd Ali dan Mohd Shahmeizy Sulong,” katanya.

Perbicaraan yang bermula 9 Mac lalu, antara lain mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Dr Marzuki.

Mahkamah menetapkan 25 November ini bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menfailkan hujahan bertulis. Hujahan lisan pendakwaan pada 26 November dan hujahan lisan pembelaan pada 1 hingga 3 Disember.

Prosiding dihadiri peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.

Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Muhyiddin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here