KUANTAN – Sudah lama beliau meninggalkan kerusi Ketua Polis Negara, namun semangat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk menjaga keselamatan rakyat ternyata belum pernah bersara.
Malah, pengalaman puluhan tahun dalam pasukan polis terus dimanfaatkan bagi membantu masyarakat, khususnya dalam aspek pencegahan jenayah, keselamatan dan ketenteraman awam.
Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, persaraan Musa bukan bermakna beliau berhenti mengambil berat mengenai keselamatan negara dan rakyat.
Sebaliknya, katanya, Musa masih menjadi individu yang dihormati dan dirujuk masyarakat bagi mendapatkan pandangan serta nasihat berkaitan isu jenayah dan keselamatan.
“Walaupun Tan Sri Musa telah bersara sebagai Ketua Polis Negara, semangat beliau untuk membantu masyarakat dan mengambil berat tentang keselamatan rakyat masih terus berkobar-kobar.
“Beliau sentiasa dihormati dan dihubungi masyarakat untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam isu-isu jenayah dan keselamatan negara.
“Hubungan beliau yang mesra juga sangat dihargai dan disenangi masyarakat,” katanya.
Menurut Daniel, pengalaman luas Musa ketika menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan beliau antara individu yang mempunyai pengetahuan dan perspektif penting dalam usaha memperkukuh pencegahan jenayah di peringkat komuniti.
Katanya, penglibatan Musa dalam MCCC juga membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan pihak polis.
“Kepimpinan beliau dalam MCCC dapat membantu pihak polis, terutama dari segi penyaluran maklumat berkaitan jenayah yang diperoleh daripada masyarakat.
“Pada masa sama, ia dapat merapatkan lagi hubungan antara polis dengan masyarakat serta menggalakkan komuniti memainkan peranan dalam menjaga keselamatan kawasan masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Daniel berkata, semangat Musa membuktikan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak seharusnya terhenti selepas seseorang meninggalkan jawatan rasmi.
“Bagi beliau, persaraan hanyalah melepaskan jawatan rasmi, bukannya melepaskan tanggungjawab dan rasa cinta terhadap negara.
“Seragam boleh ditanggalkan, jawatan boleh dilepaskan, tetapi semangat untuk menjaga keselamatan negara dan rakyat tetap terpahat di hati,” katanya. – MalaysiaGazette
















