Sara mengucup dahi ibu yang kini menghidap kanser tahap empat kerana selnya sudah sudah merebak ke hati, paru-paru, tulang belakang dan leher ketika ditemui di kediaman mereka Taman Bukit Kempas, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja yang juga anak kepada penyanyi kumpulan nasyid Iman Heart berkorban menjaga ibu dan bapa yang kedua-duanya menghidap kanser tahap empat di Jalan Bukit Kempas 3/4, Taman Bukit Kempas di sini.

Nur Sara Ayryna Zek Ayry Khan yang merupakan pelajar tahfiz di sebuah madrasah di Senai, kini hanya belajar secara dalam talian kerana perlu memikul tanggungjawab menjaga ibu bapanya sepanjang masa.

Nur Sara Ayryna atau dikenali sebagai Sara berkata, bapanya, Zek Ayry Khan Zarak Khan, 47, yang juga penyanyi kumpulan nasyid Iman Heart dikesan menghidap sakit kanser hidung pada 2023.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ibunya pula, Noor Diana Hashim, 47, didiagnos barah payudara lebih awal iaitu pada 2021 dan menjalani pembedahan pada 2022.

“Perjalanan mak dan abah melawan kanser bukan mudah, ketika mak sakit, abah menjaganya dan apabila abah pula diuji dengan penyakit yang sama mak kuatkan semangat untuk menjaga abah.

“Kanser hidung abah merebak hingga ke tulang dan dia menjalani pembedahan pada dua tahun lalu dengan bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan kini abah hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda serta kakinya sentiasa bergetar.

“Mak tidak pernah putus asa, dia berniaga di Bazar Ramadan di Angsana Mall pada setiap tahun, menjual makanan secara online, malah dia juga menganjurkan pameran pengantin dengan bantuan rakan demi menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, malangnya sejak dua bulan lalu, kesihatan ibunya semakin merosot dan tangan kiri ibunya semakin membengkak hingga terpaksa menjalani pembedahan pintasan limfetik vascular untuk limfedema.

“Terkini, doktor mengesahkan kanser mak mencecah tahap empat kerana sel sudah sudah merebak ke hati, paru-paru, tulang belakang dan leher,” katanya.

Sara bersyukur kerana perbelanjaan pemasangan ‘chemo port’ bagi ibunya juga ditanggung MAINJ baru-baru ini bagi membolehkan wanita itu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, dia memiliki dua abang yang berusia 20-an dan kedua-dua hanya bekerja biasa serta membantu meringankan kos pembelian lampin pakai buang serta barangan dapur.

 

“Memang mak dan abah hilang punca pendapatan, buat masa ini abah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM300.

“Mak nasihatkan Sara supaya tidak bimbang berkaitan kewangan sebaliknya terus berdoa,” katanya.

Sara berkata, dia hanya mampu tidur selama tiga hingga empat jam sehari bagi memberi jagaan kepada ibu bapanya termasuk memandikan mereka, mengemas rumah, selain memasak.

“Mak dah abah kadang-kala tidak dapat tidur malam apabila sakit terutama di bahagian tulang belakang, Sara biasanya teman mereka.

“Biasanya Sara akan menemani ibu di hospital manakala abang-abang pula menemani abah di rumah,” ujarnya.

Dia amat bersyukur kerana mampu memberi jagaan kepada ibu bapanya dan pada masa ini terpaksa belajar secara dalam talian.

“Sara akan menjaga mereka sehingga akhir hayat, cita-cita saya adalah untuk berjaya dalam hidup bagi memudahkan urusan mak dan abah.

“Sara faham keadaan abah dan ibu yang semakin lemah, tahap kesakitan bertambah kerana sel kanser sudah merebak namun apa yang Sara doakan setiap hari agar mereka dipinjamkan lebih lama,” katanya.

Sementara itu, Zek Ayry berkata, Sara merupakan seorang anak yang memiliki kesabaran tinggi serta penyayang.

“Dia tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa menjaga saya dan isteri secara bergilir-gilir. Kami hanya mampu mendoakan supaya Sara sentiasa dilindungi Allah,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun  AmBank 1040070003182 Noor Diana Hashim atau menghubungi talian 017-789 8100.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here