Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyerahkan cenderamata dan bergambar bersama ahli keluarga mantan Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin pada Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Empat tokoh kehakiman yang pernah menerajui institusi perundangan negara meninggalkan legasi berbeza, namun sumbangan mereka terus menjadi asas penting kepada perjalanan kehakiman Malaysia hari ini.

Mereka ialah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin, Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad, serta mantan Hakim Besar Malaya, Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Penghormatan itu dizahirkan menerusi Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara dan Mantan Hakim Besar Malaya yang berlangsung di Bilik Bicara Mahkamah Persekutuan 1, Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) itu menghimpunkan ahli keluarga, hakim, pegawai kanan kehakiman dan perundangan serta pengamal undang-undang bagi mengenang jasa empat tokoh terbabit.

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, institusi kehakiman tidak dibina hanya melalui bangunan mahkamah, sebaliknya kedudukannya bergantung kepada karakter dan tindakan mereka yang diberi amanah untuk mengendalikannya.

“Institusi mendapat kedudukannya hanya melalui karakter dan tindakan mereka yang diamanahkan kepadanya,” katanya dalam ucapan utama pada majlis itu.

Menurut beliau, legasi kehakiman tidak boleh dikaitkan dengan seorang Ketua Hakim Negara sahaja kerana setiap pemimpin menerima institusi yang dibentuk oleh generasi terdahulu, memperkukuhnya sebelum menyerahkannya kepada generasi berikutnya.

Mengimbas sumbangan empat tokoh berkenaan, Tun Wan Ahmad Farid menyifatkan Tun Eusoff Chin sebagai tokoh yang membawa disiplin kepada kehakiman, khususnya dalam memastikan mahkamah bersidang dan berfungsi mengikut masa yang ditetapkan.

Tun Dzaiddin pula berusaha ‘mengatur semula rumah’ kehakiman dengan menekankan soal kesopanan, ketelusan dan integriti, manakala Tun Abdul Hamid Mohamad meninggalkan legasi kukuh mengenai prinsip serta batas kuasa kehakiman.

Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob pula mencatat sejarah sebagai wanita yang memecahkan pelbagai batas dalam bidang kehakiman dan perundangan, termasuk menjadi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.

“Tun Eusoff Chin memberikan disiplin kepada kehakiman. Tun Dzaiddin berusaha memulihkan kepercayaan.

”Tun Abdul Hamid memberikan penghayatan yang berpanjangan terhadap prinsip dan batasan, manakala Tan Sri Siti Norma memberikan ruang kepada seluruh rakyat untuk menjadi sebahagian daripada barisan hakim kita,” ujar beliau.

Wan Ahmad Farid berkata, keempat-empat tokoh itu sudah melaksanakan bahagian mereka dalam memperkukuh institusi kehakiman, dan tanggungjawab tersebut kini perlu diteruskan oleh generasi yang sedang berkhidmat.

“Empat tokoh ini adalah sebahagian besar daripada bukti bahawa mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka. Kini giliran kita untuk melaksanakan tanggungjawab bagi mereka yang datang selepas kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga keempat-empat tokoh atas pengorbanan yang turut ditanggung sepanjang mereka berkhidmat kepada negara.

“Negara mengenali mereka melalui jawatan yang disandang, anda mengenali insan di sebalik gelaran itu,” katanya lagi.

Majlis turut menyaksikan ucapan penghormatan oleh wakil keluarga keempat-empat tokoh serta Naib Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Murshidah Mustafa dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Turut hadir bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta pegawai kanan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here