BATU PAHAT – Seramai 14 penumpang berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar di Kilometer 137, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, Yong Peng di sini hari ini.
Bagaimanapun semua penumpang terbabit termasuk seorang pemandunya sempat menyelamatkan diri dalam kejadian pada pukul 1.37 tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kebakaran sebuah bas jenis Hino RK Intercooler milik Syarikat Orkid Dynasty.

“Kebakaran berlaku ketika bas sedang bergerak dari Johor Bahru ke lapangan terbang di Subang.
“Kemusnahan bas tersebut dianggarkan sebanyak 80 peratus. Semua 14 penumpang dan seorang pemandu berjaya keluar dari bas sebelum ketibaan PKO di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, PKO bertindak menjalankan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pukul 2.48 petang.
Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- MalaysiaGazette
















