Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mendapatkan maklumat daripada janda 11 anak yang juga tunangan orang ketika dicekup berkhalwat degan seorang anggota pasukan unit beruniform di Taman Maju,, Jasin, Melaka, pukul 3.20 pagi Ahad lalu.

JASIN – Seorang anggota pasukan unit beruniform memberi alasan rumahnya tiada bekalan air ketika dicekup berkhalwat bersama seorang janda 11 anak di Taman Maju, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lebih mengejutkan ibu tunggal berusia 46 tahun itu merupakan tunangan orang yang sepatutnya berkahwin April ini selepas dua kali bercerai sebelum ini.

Menurutnya, pemeriksaan pada pukul 3.20 pagi Ahad lalu dilakukan lapan anggota Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM selepas mendapat aduan awam.

Menurutnya ketika serbuan, anggota penguat kuasa terpaksa menunggu selama 15 minit walaupun ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala sebelum pintu rumah dibuka seorang wanita berjubah.

Pemeriksaan mendapati anak lelaki wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda berusia 35 tahun berada atas katil dalam bilik hadapan serta seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sedang tidur di bilik belakang

“Pemeriksaan kemudian mendapati dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda berusia 35 tahun berada atas katil dalam bilik hadapan serta seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sedang tidur di bilik belakang.

“Hasil soal siasat, anggota pasukan unit beruniform itu memberi alasan rumahnya tiada bekalan air dan terpaksa bermalam di rumah janda berkenaan yang juga tunangan orang dan dijadualkan berkahwin April ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati, duda dua anak itu baharu bercerai pada Januari lalu dan mengenali anak lelaki janda berkenaan awal bulan ini yang dijadikannya sebagai anak angkat.

Datuk Che Sukri Che Mat

“Malah, janda yang tidak bekerja itu mempunyai 11 anak iaitu lapan anak hasil perkahwinan pertama dan tiga anak pada kali kedua serta dijadual berkahwin dengan lelaki lain April ini.

“Semakan juga mendapati, wanita itu juga mempunyai rekod berkhalwat dengan lelaki lain dua tahun lalu dan sudah bersekedudukan dengan duda itu sejak setahun lalu,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman manakala anaknya disiasat di bawah Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat.

Kejayaan itu juga katanya, adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,”jelasnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast