KLANG – Seorang pekerja yang dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapat sinar baharu apabila menerima peralatan sokongan pemulihan untuk meneruskan aktiviti harian.
Jancey Rani, 43, yang kehilangan kaki kirinya hingga paras bawah lutut akibat dipotong kerana menghidap penyakit kencing manis yang teruk mulanya hampir putus asa untuk meneruskan kehidupannya.
Namun, dengan usaha majikannya City Link Express Glenmarie, Shah Alam, beliau mendapat perhatian Perkeso dan menjalani pemulihan rehabilitasi fizikal dan vokasional secara intensif.
Rawatan pemulihan itu bagi membolehkan Jancey Rani berdikari dan kembali meneruskan pekerjaan untuk menyara diri serta keluarga.
Ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sentosa, dekat sini, beliau yang masih bujang mengucapkan terima kasih atas kunjungan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Katanya, menteri menyampaikan satu unit kaki palsu yang ditambah baik, kerusi roda, surat tawaran menjalani rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) dan juga surat tawaran untuk penyertaan dalam program Return to Work (RTW).
“Saya sebelum ini bekerja sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di City-Link Express HQ di Glenmarie, Shah Alam dan dilindungi Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Saya menghidap kencing manis sejak berusia 19 tahun lagi dan mula menghadapi masalah kesihatan berkaitan penyakit ini sejak 2018 apabila berlaku luka kecil di jari kedua kaki kiri yang merebak sehingga perlu dipotong.
“Malangnya, keadaan yang sama berulang pada tahun 2020 apabila jari kelingking kaki kiri pula terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman,” katanya.
Menurut Jancey Rani, pada Mei 2022, kaki kirinya pula terpaksa diamputasi sehingga paras bawah lutut oleh doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mengelak komplikasi kesihatan akibat jangkitan kuman yang teruk.
Beliau kemudian menjalani rawatan pemulihan dan menerima kaki palsu pertama pada Oktober 2022 setelah pihak hospital memohon kaki palsu untuknya menerusi Sistem Inspire PERKESO.
Bagaimanapun, beliau kurang sesuai dengan kaki palsu tersebut dan membuat permohonan untuk Pencen Ilat Perkeso.
“Namun, berdasarkan penilaian oleh panel Jemaah Doktor, saya disahkan tidak mengalami keilatan, sebaliknya Perkeso meluluskan rawatan rehabilitasi untuk saya di PRPTAR Melaka.
“Prihatin dengan situasi saya, wakil Perkeso datang melawat pada 31 Januari dan 3 Februari lalu untuk mengetahui lebih lanjut keperluan saya serta memberi galakan dan motivasi.
“Kunjungan Pengurus Perkeso Klang, Skuad Perkeso Prihatin (SPP) Klang dan juga Pengurus Kes RTW ini mendapati saya mempunyai potensi besar untuk kembali bekerja sekiranya diberikan rehabilitasi, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Malah, cerita Jancey Rani, beliau juga layak menerima peralatan pemulihan seperti kerusi roda dan tongkat.
Beliau dijangka bekerja semula dengan majikannya sebelum ini setelah selesai menjalani rawatan rehabilitasi di Melaka. – MalaysiaGazette