TELUK KUMBAR – “Setiap hari saya titipkan doa agar anak saya pulang dengan selamat seperti mana dia pergi belayar hari pertama,”.

Demikian luah ibu kepada Mohamad Syafarizan Mohd Noor, 24, antara lima kru Kapal MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu.

Menurut Siti Nur Hasanah, 47, mereka sekeluarga menaruh harapan agar anak sulung daripada tujuh beradik itu pulang dengan selamat meskipun sudah berganti bulan kehilangannya.

Siti Nur Hasanah.

Katanya, dia tidak sangka pelayaran pertama anaknya menjadikan titik hitam buat mereka sekeluarga.

“Air mata ini sudah kering memikirkan nasib anak sulung saya itu namun dalam masa sama saya terpaksa sembunyikan semua perasaan itu di hadapan anak-anak lain.

“Setiap hari anak-anak tanya mana abang mereka sebab sudah terlalu lama tidak pulang dan saya dan suami terpaksa menipu dia tengah berlayar serta tidak boleh menghubungi keluarga disebabkan faktor tiada signal di tengah laut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, keluarga Siti Nur Hasanah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz dan Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown Mohd Asri Mohd Rasid.

Azrul Mahathir (kiri) bersama Pengurus Pejabat Perkeso George Town Mohd Asri Mohd Rasid menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa ketika melakukan kunjungan di kediaman mereka di Taman Sahabat di sini.

Mengulas lanjut Siti Nur Hasanah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Mohamad Syafarizan ialah semasa kapal berkenaan berada di Perak dan dia sempat memberitahu  kapal milik sebuah syarikat di Vietnam yang berdaftar di Kuching, itu mengalami beberapa masalah.

“Kami hanya mengetahui kehilangan kapal itu menerusi berita di televisyen pada malam ia dilaporkan tidak dapat dikesan.

“Tiga hari sebelum kejadian, saya berasa susah hati kerana tidak dapat menghubunginya dan bermimpi berlaku rampasan kapal namun hanya menganggap sebagai mainan tidur.

“Tidak sangka selepas itu saya terima khabar mengenai kehilangan kapal dan lima kru berkenaan termasuk anak saya seolah-olah ia benar-benar berlaku,” katanya.

Tambah peniaga nasi lemak itu, dia berharap anaknya pulang sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Azrul Mahathir berkata, pihaknya akan pertimbangkan bantuan kepada keluarga ini susulan mereka mempunyai tanggungan yang ramai.

Azrul Mahathir.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak Perkeso, Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai bantuan itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kapal kargo yang membawa muatan besi paip itu dilapor hilang selepas keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Sarawak pada 31 Disember tahun lalu.

Lokasi terakhir kapal berkenaan dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast