KUALA LUMPUR – Kes demam denggi meningkat sebanyak 182 kes atau 9.3% kepada 2,149 pada minggu lalu berbanding 1,967 minggu sebelumnya dengan empat kes kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 15,243 kes berbanding 4,950 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 10,293 (207.9%),
Manakala sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 53 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor.
Sejumlah 20 lagi lokaliti hotspot di Sabah, empat lokaliti hotspot di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan dua di Pulau Pinang.
Survelan Chikungunya merekodkan sebanyak lapan kes pada minggu ke-07 dengan empat (4) kes dari Pulau Pinang, tiga kes dari Selangor dan satu kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 94 kes, kata Noor Hisham.
Bagi survelan Zika, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan Zika dan hasil kesemuanya adalah negatif. – MalaysiaGazette