Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNo, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi itu pada Pemiihan UMNO 2023.

Melalui Facebooknya, Khaled berkata, beliau mahu meneruskan khidmat dan bakti sebagai pucuk pimpinan parti tunjang kaum Melayu itu.

“Penawaran diri ini, saya sedar dalam keadaan dan saat parti kita ini tidak berada dalam kedudukan yang terbaik dan dianggap jauh dari orang Melayu.

“Jadi dengan kesedaran dan tekad untuk mengembalikan semula kepercayaan yang hilang melalui usaha-usaha pemulihan, dengan bekerja bersama-sama semua yang percaya bahawa parti yang lemah seperti parti kita pada hari ini haruslah kita bersama-sama usahakan untuk bangkit kembali,” katanya.

Ini kali kedua bekas Menteri Besar Johor itu bertanding pada kerusi sama pada pemilihan sebelum ini.

Jelas Khaled, biarpun UMNO merupakan parti yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu, namun parti itu perlu bangkit bagi mendepani Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum.

“Saya sedar berbekalkan kepada segala kekuatan dan juga kelemahan yang ada pada diri saya, saya berharap mendapat keizinan semua agar saya dapat meneruskan ikhtiar untuk kita memerta semula perjalanan parti kita ini untuk masa kini dan juga masa akan datang.

“Saya percaya dengan segala sokongan dan bantuan yang diberikan kepimpinan dan juga ahli parti di semua peringkat, kita akan dapat terjemahkan kerja keras ini demi agama bangsa dan juga tanahair,” katanya lagi.

Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi dipilih ke jawatan itu pada Julai 2018.

Mohamed Khaled menyertai Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Naib Presiden UMNO yang baharu dimana Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden.

Untuk rekod, Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan pada 1 hingga 26 Februari ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat, akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast