KUALA SELANGOR – Proses pemisahan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dilaksanakan sesegera mungkin tetapi tidak secara serta-merta, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Roziah Janor.
Beliau berkata proses ‘pemisahan’ itu dilaksanakan selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam memutuskan FKPM universiti itu tidak akan digabungkan dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dan Fakulti Sains Informasi (FSI) seperti yang pernah diumumkan Oktober lepas.
“Semalam keputusan telah dicapai dan saya berada dalam mesyuarat itu. Saya menerima pandangan tersebut secara positif dan ‘pemisahan’ FKPM akan disegerakan dan bakal melalui beberapa proses dan jawatankuasa.
“Kami mulanya dimohon agar ‘pemisahan’ (FKPM) ini dilakukan secara serta-merta tetapi saya jelaskan ia tidak dapat dilakukan kerana beberapa sebab antaranya ketika ini pelajar sedang menjalani peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Memperkasakan Kesejahteraan Komuniti’ di UiTM Puncak Alam hari ini.
Roziah berkata selain itu proses tersebut juga akan melibatkan penelitian terhadap surat tawaran pelajar yang akan membabitkan biasiswa dan pinjaman yang diterima oleh mereka.
Selain itu katanya, beliau bersama pengurusan tertinggi UiTM akan melaksanakan perbincangan dalam masa terdekat untuk melantik dekan interim FKPM ekoran dekan sebelum ini berada dalam keadaan tidak sihat.
“Macam mana kami nak buat proses penggabungan dahulu, macam itu juga proses pemisahannya kerana akan melibatkan proses pembentukan kembali (sebuah fakulti) dengan adanya dekan, timbalan dekan, kakitangan, kebajikan, kewangan dan sebagainya. Dalam satu malam ia tidak boleh berlaku,” katanya. – BERNAMA