KUALA LUMPUR – Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) yang terkejut dengan pendedahan pembelian ventilator yang rosak seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah melakukan siasatan lanjut.
Tindakan segera ini perlu dilakukan supaya pihak yang bertanggungjawab menyebabkan keadaan tersebut berlaku memikul tanggungjawab.
Pusat C4 berkata, berdasarkan LKAN, Kementerian Kesihatan dengan kelulusan Kementerian Kewangan selepas mesyuarat Kabinet telah membayar RM30 juta kepada sebuah syarikat 260790-T (yang dinamakan Pharmaniaga Logistics) untuk mendapatkan 500 ventilator yang dianggarkan RM50 juta.
Daripada 500 unit, syarikat 260790-T hanya menghantar 136 dan daripada jumlah itu hanya 28 ventilator berada dalam keadaan boleh digunakan.
Pembekalan 136 ventilator telah menelan belanja RM20.1 juta, tambahan RM3.97 juta turut diluluskan untuk menaik taraf ventilator tertentu, menjadikan kos perolehan keseluruhan 136 ventilator kepada RM24.07 juta.
Selain itu, kerajaan tidak boleh menuntut kerugian daripada ventilator yang rosak, dianggarkan oleh audit negara sebanyak RM13.07 juta, kerana tiada dokumen mengenai pelantikan perolehan ventilator antara syarikat berkenaan dan KKM serta perolehan itu dibuat berdasarkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Pusat C4 berkata, kekurangan dokumen juga bermakna juruaudit tidak dapat mengesahkan peranan dan tanggungjawab sebenar syarikat 260790-T dalam urusan mereka dengan pengeluar ventilator.
Menurutnya, pendedahan oleh LKAN itu berpunca daripada kegagalan mengamalkan tadbir urus baik dalam proses perolehan, akhirnya mengakibatkan rakyat Malaysia lebih rugi.
”Sukar untuk mengenal pasti sejauh mana prinsip tadbir urus yang baik telah dilanggar dalam insiden ini, yang pasti ketidakupayaan institusi sedia ada untuk mencegah pembaziran dan ketirisan pada skala ini.
”Banyak isu berkaitan antara satu sama lain yang menyebabkan kerugian ini mesti dikenal pasti dan diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pertama, laporan itu menyatakan mesyuarat Kabinet pada 25 Mac 2020 bersetuju syarikat 260790-T akan mengambil peranan membekalkan ventilator menerusi rundingan langsung.
Sedangkan proses perolehan awam seumpama ini (rundingan terus) telah lama dikritik kerana kurang telus.
Kekurangan ketelusan ini boleh menimbulkan risiko konflik kepentingan yang tinggi yang mana ahli politik boleh menawarkan tender kepada syarikat yang mereka mempunyai kepentingan kewangan.
Firma induk syarikat 260790-T, Pharmaniaga Bhd, juga telah dipilih untuk mendapatkan vaksin Sinovac secara rundingan terus.
Di sini juga wajar untuk diperhatikan bahawa Pharmaniaga ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana dua pemegang saham utamanya ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings, yang sahamnya juga dimiliki majoriti oleh LTAT.
Kedua, rundingan terus ini secara langsung diburukkan lagi dengan ketiadaan kontrak perkhidmatan syarikat 260790-T dalam mendapatkan ventilator kerana operasi tersebut merupakan komponen inisiatif CSR syarikat.
Pusat C4 berkata, kekurangan dokumentasi rasmi menggariskan mandat kontrak syarikat yang menjalankan perolehan awam barangan awam menggunakan dana awam adalah tidak boleh diterima.
Ini kerana ia sangat terdedah kepada penyalahgunaan – syarikat yang dipilih secara tertutup hanya berhak mendapat sejumlah besar wang di bawah inisiatif “CSR” yang mana wang itu boleh disalurkan semula ke dalam poket ahli politik adalah risiko sebenar.
Tanpa kontrak, kerajaan juga tidak dapat mempertanggungjawabkan kepada mana-mana entiti atau mempertanggungjawabkan kegagalan untuk mendapatkan dan menghantar peralatan perubatan yang berpotensi menyelamatkan nyawa pada kemuncak pandemik global.
Selain itu, Pusat C4 berkata, penggunaan “CSR” muncul perlahan-lahan sebagai trend yang membimbangkan sebagai cara mudah untuk mendapatkan pembiayaan kerajaan dengan mengorbankan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.
Keadaan ini turut mengingatkan kepada aplikasi MySejahtera yang telah dihimpit dengan kontroversi mengenai pemilikannya dan keselamatan data juga ditakrifkan sebagai projek CSR.
Ketiga, prestasi buruk syarikat 260790-T dalam memperoleh ventilator – hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh berfungsi, jauh di bawah sasaran 500 jumlah unit, sekali gus menimbulkan keraguan yang serius terhadap keupayaan syarikat untuk menguruskan operasi ini.
Ia turut menimbulkan persoalan adakah syarikat ini tidak menjalankan pemeriksaan jaminan kualiti yang betul untuk memastikan mereka menerima barangan yang berfungsi? Mengapa mereka tidak dapat memperoleh bilangan unit yang disasarkan?
Malah, seandainya syarikat ini tidak mempunyai kepakaran atau pengetahuan prosedur untuk menguruskan operasi, nampaknya keputusan Kabinet untuk melantik syarikat ini lebih mengelirukan.
Mengenai persoalan terakhir, diakui bahawa isu rantaian bekalan global mungkin telah menjejaskan keupayaan syarikat untuk mendapatkan ventilator tepat pada masanya.
Walau bagaimanapun, mencari penyelesaian untuk salah satu daripada isu ini telah menjadi tidak berkesan sama sekali kerana kontrak untuk perolehan tidak wujud dan oleh itu tidak ada cara untuk mengetahui sejauh mana peranan syarikat 260790-T dan bagaimana tanggungjawab itu dikongsi dengan pengilang.
Keempat, kaedah pengendalian dana juga boleh dipersoalkan – angka tersebut menunjukkan sama ada anggaran yang terlalu rendah terhadap kos sebenar yang diperlukan untuk mendapatkan ventilator, atau wang telah dibelanjakan secara sembrono dan tidak mengikut mana-mana belanjawan yang dibuat sebelum ini.
Hujahnya, anggaran kos untuk mendapatkan 500 unit ventilator pada mulanya dianggarkan berjumlah RM50 juta, tetapi LKAN menunjukkan kos untuk mendapatkan dan menaik taraf 136 unit sahaja ialah RM24.07 juta.
Untuk meletakkan angka ini dalam perspektif, hampir separuh daripada jumlah belanjawan telah dibelanjakan untuk mendapatkan kurang daripada satu pertiga daripada jumlah sasaran ventilator.
Justeru, persoalannya, adakah anggaran awal RM50 juta adalah hasil daripada kesilapan pengiraan, atau adakah terdapat ketirisan di sepanjang prosesnya.
Dan jika ya, apakah keputusan yang dibuat hingga membawa kepada ketirisan ini dan siapa yang membuatnya?
Laporan itu juga menyatakan, “… tiada dokumen berkaitan dengan transaksi mengenai perolehan ventilator diberikan kepada juruaudit.”
Kelima, kelemahan “perolehan kecemasan” oleh kerajaan ketika itu membentuk asas dari mana semua isu yang disebutkan di atas berlaku.
Kekurangan pemantauan Parlimen untuk meluluskan RM30 juta untuk perolehan adalah punca kerana kelulusan telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Menurut LKAN, Kementerian Kewangan meluluskan ini pada hari yang sama dan sejumlah RM30 juta telah diagihkan kepada syarikat 260790-T, menunjukkan bagaimana “perolehan kecemasan” menumpukan kuasa untuk mengawal dana awam secara eksklusif di tangan Eksekutif kerajaan.
Syarikat 260790-T akhirnya memulangkan RM6.97 juta daripada bayaran pendahuluan. – MalaysiaGazette