Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) bersama Timbalanya, Datuk Seri Huang Tiong Sii (dua kanan) melakukan gimik perasmian Loji Rawatan Kumbahan Berpusat dan Taman Eko Langat, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2023.

KAJANG – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjelaskan caj perkhidmatan pembetungan bulanan baharu Indah Water Konsortium (IWK) telah dimaklumkan lebih awal kepada pengguna pada tahun lalu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kadar baharu itu telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, kenaikan caj itu perlu kerana IWK iaitu syarikat pengurusan pembetungan nasional tidak menaikkan kadar caj sejak 28 tahun lalu.

“Ini menyebabkan masalah aliran tunai bagi syarikat yang bergelut dengan peningkatan kos operasi.

“Justeru, kerajaan akan mengekalkan kadar itu bagi menjaga kepentingan kedua pihak termasuk pengguna mendapat perkhidmatan terbaik untuk rawatan dan selia rawatan kumbahan agar tidak tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas merasmikan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Langat dan Taman Eko Langat di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas luahan segelintir pengguna yang meluahkan rasa kurang senang mereka selepas menyedari perlu membayar lebih 25 peratus lebih tinggi daripada biasa bagi caj perkhidmatan pembetungan bulanan masing-masing.

Ini kerana mereka baru menyedari kini perlu membayar RM10 sebulan berbanding hanya RM8 sebelum ini.

Pada September lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika itu mengumumkan tarif bagi perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik untuk kategori domestik akan diselaraskan masing-masing bermula 1 Oktober dan 1 Januari lalu.

KASA memaklumkan persetujuan pelarasan tarif bagi perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April tahun lalu.

“Pelarasan tarif ini akan melibatkan peningkatan antara RM5 hingga RM8 sebulan bagi perkhidmatan mengosongkan untuk premis yang memiliki tangki septik berkuat kuasa 1 Oktober 2022.

“Bagi perkhidmatan bersambung pula akan mengalami peningkatan kecil sebanyak RM2 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2023,” menurut KASA.

Bagi meringankan beban rakyat, bantuan bersasar disediakan melalui pemberian rebat kepada golongan yang berdaftar dengan program E-Kasih. – MalaysiaGazette